Sabtu, 4 Julai 2020

3,000 cawangan pasar raya koperasi menjelang 2021

Mohammad Arif Nizam
koperasi-681x454
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah (dua kanan) melihat barangan keperluan ketika Majlis Pembukaan Pasar Raya Best Mart, Wangsa Maju turut bersama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan, Amran Abd Kadir (dua kiri) dan Pengerusi KO-BEST, Datuk Mazlan Hashim (kiri) di Pasar Raya Best Mart, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI,

KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan sebanyak 3,000 cawangan pasar raya milik koperasi di negara ini menjelang 2021.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini, sebanyak 1,500 cawangan sudah mendaftar berbanding 1,800 cawangan yang disasarkan tahun ini.

Jelas beliau, baki kuota 300 koperasi mampu dicapai pada akhir tahun ini.

“Angkasa telah berjanji kepada kerajaan untuk menyasarkan sebanyak 3,000 cawangan pasar raya koperasi dalam tempoh dua tahun ini iaitu tahun ini dan 2021.

“Jumlah itu bertujuan supaya kedai-kedai milik koperasi boleh akses sekurang-kurangnya kepada tiga juta rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli yang terdiri daripada B40.

“Ini bagi membolehkan rakyat mendapat barang keperluan asas dengan harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan pasar raya mini Best Mart milik Koperasi Pribumi Bersatu Malaysia Berhad (KO-BEST) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi KO-BEST, Datuk Mazlan Hashim.

Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah berharap kerajaan dapat memperuntukan sebahagian dana Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) kepada koperasi dalam menjaga aspek kebajikan mereka.

Beliau berkata, cadangan itu perlu pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan memandangkan semua koperasi berdaftar terkesan akibat keadaan tunai semasa yang meruncing berikutan penularan virus Covid-19.

“Kami memang sedar undang-undang dan akta tidak mesra koperasi. Bila koperasi hendak buat perniagaan ada halangan seperti contoh tubuh syarikat.

“Pada masa sama, koperasi tidak diiktiraf sebagai entiti yang mendapat kemudahan pembiayaan di bawah peruntukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Jadi saya menyeru kepada kerajaan agar sebahagian peruntukan kepada PKS diperuntukan kepada koperasi,” katanya.

Sementara itu, Mazlan memberitahu, selepas ini KO-BEST akan membuka cawangan kedua Best Mart di Bangi dalam masa terdekat ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: