Isnin, 1 Jun 2020

Video ajak turun ke jalan: Pemimpin Otai Reformis beri keterangan

Timbalan Pengerusi Otai Reformis 1998, Mustapa Mansor memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini berhubung rakaman video yang dimuat naik di Youtube bulan lepas.

Bercakap kepada pemberita kira-kira jam 2.30 petang tadi sebelum masuk memberikan keterangan, Mustapa memaklumkan beliau dihubungi unit siasatan Bukit Aman petang semalam.

Dalam video yang dimuat naik tiga hari sebelum sidang parlimen pada 18 Mei lalu, Mustapa menggesa agar mandat rakyat ditentukan menerusi parlimen dan sekiranya tidak, rakyat akan bangkit menyatakan pendirian mereka di jalan raya.

Untuk rekod, sidang parlimen selama sehari itu hanya mendengar titah Yang di-Pertuan Agong tanpa melibatkan sebarang urusan lain, termasuk usul kerajaan mahupun pembangkang. 

Ia sekali gus menutup pintu untuk sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas tercetusnya krisis politik Februari lalu.

Pihak pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) dan beberapa ahli Bersatu yang dipertikaikan, menuntut majoriti PN ditentusahkan menerusi undian di parlimen.

Mengulas hal itu, kata Mustapa, kenyataan yang dibuatnya dalam video itu adalah berdasarkan kenyataan Dr Mahathir Mohamad pada pagi 1 Mac lalu, yang memberitahu memiliki akuan bersumpah daripada 114 ahli parlimen.

Menurut Mustapa, pengumuman itu menafikan majoriti yang didakwa dimiliki Perikatan Nasional (PN).

Dalam videonya, beliau juga mendakwa menyokong kenyataan bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu mengenai kemungkinan kembali ke jalan raya jika soal majoriti tidak dapat ditentukan di parlimen.

'Kali ini semua bangsa akan turun ke jalan'

Disoal mengenai hal itu, Mustapa berkata rakyat berhak menggunakan apa saja cara yang dibenarkan undang-undang, termasuklah perhimpunan secara aman.

"Kami berkeyakinan, sekiranya tiada solusi melalui parlimen, rakyat berhak untuk turun ke jalan.

"Kalau kali ini, bukan Melayu saja, tapi semua bangsa akan turun ke jalan sebab tak ada pilihan. Mana ada pilihan?

"Rakyat tak mahu dicemuh, dicaci, dihina dan sebagainya. Padahal kalau katakanlah dibuat secara baik di parlimen, apa salahnya? Tak ada salahnya di situ," katanya di hadapan kira-kira 30 orang yang hadir memberikan sokongan tadi.

Mustapa turut menyoal penyokongnya yang hadir, apakah pilihan mereka sekiranya isu majoriti tetap tidak dapat diselesaikan dalam sidang parlimen Julai nanti.

"Ke jalan raya!" jawab rata-rata penyokong yang mengiringinya.

Mustapa dilihat masuk ke IPD Dang Wangi kira-kira jam 3 petang dan difahamkan hanya keluar dari bangunan IPD pada jam 4.35 petang, setelah lebih sejam memberikan keterangan.


Tiada ulasan: