Isnin, 29 Jun 2020

Polis diarah siasat buku didakwa hina jata negara, kata menteri

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi
terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan yang tidak patriotik dan
bertanggungjawab.

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa polis telah diarahkan menyiasat dan mengambil tindakan tegas dengan segera berhubung buku yang didakwa menghina jata negara.

Hamzah berkata, Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa meniru lambang yang serupa lambang kerajaan persekutuan, iaitu jata negara.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tidak patriotik dan bertanggungjawab ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala itu, timbalan pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung penerbitan buku itu dan sedang menjalankan siasatan.

Memetik laporan Harian Metro beliau berkata, mana-mana pihak yang dipercayai terbabit dalam penghasilan buku itu termasuk pengarang, editor dan penerbit akan dipanggil bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penulis, penyunting dan penerbit sebuah buku yang didakwa merendah-rendahkan martabat jata negara dan menghina lambang rasmi Malaysia.

Asyraf berkata, buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” mempamerkan sebuah logo mirip jata negara, yang didakwa sudah diubah suai dan dijadikan penghias muka hadapan buka berkenaan.

Beliau berkata, lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk 2 ekor harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Tiada ulasan: