Isnin, 29 Jun 2020

Pemulihan Tasik Chini dalam perancangan kerajaan Pahang

Pemulihan Tasik Chini dalam perancangan kerajaan Pahang
Mesyuarat exco kerajaan negeri Pahang pada 13 Mac 2019 bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,498 hektar di Tasik Chini sebagai Hutan Simpanan Kekal. - Gambar fail

PEKAN: Nama Tasik Chini yang terkenal dengan mitos kewujudan naga kembali disebut-sebut sejak kebelakangan ini, selepas sekian lama tenggelam disebabkan tidak lagi menjadi destinasi pelancongan terkenal negeri Pahang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari sini, dahulunya sinonim dengan bunga teratai memenuhi permukaannya, namun keindahannya dikatakan mula terhakis akibat aktiviti penerokaan tanah secara haram dan perlombongan.
Menyedari akan potensi dan kepentingan Tasik Chini sama ada dalam aspek pelancongan atau sebagai khazanah negara, kerajaan negeri Pahang telah merancang pelbagai inisiatif untuk mengembalikan kegemilangan tasik itu.

Inisiatif memulihkan Tasik Chini telah bermula tahun lepas apabila Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan mesyuarat exco kerajaan negeri pada 13 Mac 2019 telah bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,498 hektar di tasik itu sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).
–– ADVERTISEMENT ––
Jumlah 4,498 hektar itu bukanlah satu keluasan yang kecil, kerana jika dihitung secara mudah, ia bersamaan dengan hampir 6,000 saiz padang bola sepak yang berkeluasan 110 meter x 70 meter, menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam memulih dan memulihara persekitaran Tasik Chini untuk generasi masa depan.

Bagi mengatasi kegiatan perlombongan di situ, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri pada mesyuarat yang sama telah menetapkan dasar khas bagi aktiviti itu, yang antara intipati utamanya ialah tidak meluluskan pajakan melombong baharu di kawasan sekitar Tasik Chini.

Selain itu, Wan Rosdy juga memberi jaminan bahawa setiap aduan berkaitan aktiviti perlombongan di kawasan itu, akan diambil tindakan segera melibatkan semua agensi berkaitan termasuk Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Namun, walaupun pelbagai rancangan pemulihan sudah dirancang, sudah pasti kejayaannya memerlukan masa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menjangkakan rakyat dapat kembali menikmati keindahan Tasik Chini dalam tempoh 10 hingga 20 tahun.

"Dasar khas sudah dibuat tahun lalu dan kini kita memasuki peringkat pelaksanaan dengan keutamaan untuk mengekalkan status tapak rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selain menjadikannya destinasi pilihan untuk ekopelancongan.

"Kita juga sudah merancang untuk menanam semula hutan di kawasan yang terjejas. Selain itu, kita juga perlu menunggu beberapa lombong yang diluluskan sebelum ini tamat tempoh sebelum program pemulihan boleh dilakukan dalam skala yang lebih besar," katanya kepada Bernama.

Mohd Sharkar berkata pelan memulihkan Tasik Chini sudah dimaklumkan kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah pada lawatannya ke tasik itu pada pertengahan bulan ini, bagi mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Persekutuan dalam usaha tersebut.

Katanya kerja memulihkan Tasik Chini juga mendapat kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mempunyai sebuah pusat penyelidikan di tasik tersebut selain turut mengalu-alukan jika ada agensi kerajaan, swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat menyertai usaha kerajaan negeri itu.

"Sementara menanti usaha pemulihan hutan dapat dilihat, kerajaan negeri akan terus meningkatkan kawalan dan aspek penguatkuasaan di Tasik Chini supaya tidak berlaku lagi sebarang aktiviti yang boleh merencatkan rancangan kita untuk mengembalikan zaman kegemilangan tasik itu," katanya.

Usaha pemulihan Tasik Chini juga mendapat bantuan NGO, Yayasan Alam Sekitar Sultan Ahmad Shah (SASET).

CHINI-TASIK (PEMULIHAN) 4 (AKHIR) PEKAN

Menurut Pengurus Besar SASET. Sarhan Ismail, mereka sudah menanam 5,000 batang pokok balak terdiri daripada Balau, Meranti dan Merawan di hutan tasik itu sekitar Oktober 2018.

Katanya, program itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pahang, pelajar institusi pengajian tinggi di Pekan dan penduduk Felda Chini dan turut disertai penaung SASET, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muad'zam Shah Sultan Ahmad Shah.

"Kita menjangkakan pokok itu akan mengambil masa sekitar 15 tahun untuk menjadi pokok dewasa dan sepanjang tempoh itu, pemantauan akan dilakukan oleh Jabatan Perhutanan bagi memastikan tiada yang dapat menceroboh ke kawasan itu.

"Program ini diharapkan dapat memulihkan alam semula jadi di Tasik Chini kerana masih ada yang bergantung kepada aspek ekopelancongan di situ termasuk masyarakat Orang Asli yang mengambil upah membawa bot pelancong," katanya.

Sarhan juga berkata pihaknya juga sudah merangka rancangan menanam pokok di Tasik Chini pada tahun ini, bagaimanapun ia tergendala ekoran pandemik wabak COVID-19 di negara ini dan berharap dapat diteruskan dalam masa terdekat.-- BERNAMA

Tiada ulasan: