Ahad, 28 Jun 2020

Muhyiddin gesa PBT, agensi kerajaan turun padang bantu peniaga terjejas Covid-19

Muhyiddin Yassin menghadiri Majlis Perjumpaan Wakil Peniaga dan Industri
Daerah Muar di Pejabat Daerah Muar hari ini. Turut hadir Pegawai Daerah
Muar, Mohd Haffiz Ahmad (3 dari kanan) dan Pegawai Daerah Tangkak,
Shafiei Ahamad (kanan). (Gambar Bernama)

MUAR: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan lebih proaktif turun padang menemui peniaga untuk mengetahui masalah mereka.

Beliau berkata, langkah itu perlu untuk membantu peniaga memulakan kembali perniagaan selepas terjejas akibat penularan Covid-19.

“Dalam hal ini, pendekatan berbeza perlu dilakukan agar usaha kerajaan menjana semula ekonomi negara berjaya dilaksanakan.

“Jika sebelum ini peniaga dan pengusaha yang perlu merujuk majlis daerah, PBT atau dewan perniagaan, kini pihak berkuasa dan agensi kerajaan pula perlu ke lapangan bertemu peniaga untuk mengambil tahu masalah mereka.

“Ini juga sebahagian daripada kebiasaan baru yang mesti dibiasakan dalam cara kita bekerja,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Wakil Peniaga dan Industri Daerah Muar di Pejabat Daerah Muar hari ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia tidak seharusnya terkebelakang berbanding negara lain dalam fasa pemulihan ekonomi, khasnya apabila menjadi antara negara yang diiktiraf terbaik dalam mengawal penularan Covid-19.

Atas kesedaran itu, katanya, kerajaan mengambil keputusan tegas dan berani membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat bagi memastikan semua perniagaan atau industri boleh beroperasi semula, sekaligus memulihkan perniagaan mereka.

“Saya mengingatkan jangan ada apa pun sekatan atau halangan tidak perlu bagi perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula daripada menjalankan urusan perniagaan mereka.

“Kita mesti permudahkan urusan mereka. Sekiranya mereka tidak punyai lesen, permudahkan urusan permohonan dan percepatkan proses memberi kelulusan kepada mereka.”

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, sektor ekonomi di kebanyakan negara terjejas teruk akibat penularan Covid-19 dan Malaysia tidak terkecuali menerima tempiasnya.

Terdahulu, sesi perjumpaan secara tertutup hampir 2 jam itu memberi peluang kepada Muhyiddin untuk berdialog dengan 37 wakil persatuan peniaga serta industri di Muar.

Persatuan itu daripada kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana, penternak, perusahaan perabot, pengusaha bas, peniaga pasar malam dan pasar awam, pusat jagaan orang tua, persatuan kontraktor serta wakil Dewan Perniagaan India Muar.

Turut hadir wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Perjumpaan ini penting kerana mengambil kira Muar sebagai bandar perabot negara yang mempunyai keluasan kawasan industri seluas kira-kira 400ha di Bakri.

Selain itu, ia mengambil faktor Muar yang terkenal dengan tarikan makanan dan destinasi pelancongan.

Tiada ulasan: