Ahad, 28 Jun 2020

Lampu navigasi pesawat di gunung jadi panduan Rohingya mendarat di Langkawi

Puncak Gunung Mat Chinchang yang tingginya 708m jelas kelihatan dari Pantai Kok di Langkawi. Isyarat lampu navigasi pesawat yang terletak di atas gunung itu membantu PATI mencari daratan selepas memasuki perairan negara pada waktu malam.

LANGKAWI: Ratusan pelarian Rohingya yang memasuki perairan negara awal bulan ini dipercayai menggunakan isyarat lampu navigasi kapal terbang yang terletak di atas Gunung Mat Chinchang di sini sebagai panduan untuk mendarat di Langkawi.

Pegawai Memerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi, Rohizan Mohamad Said berkata lampu navigasi itu membantu pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit mencari daratan apabila memasuki perairan negara pada waktu malam memandangkan keadaan di tengah laut sangat gelap.

“Oleh itu, tekong laut yang membawa pendatang tanpa izin ini akan mencari isyarat lampu navigasi untuk mendaratkan mereka.

“Isyarat lampu navigasi yang berada di atas gunung itu sangat penting kerana menunjukkan kepada juruterbang yang kawasan tersebut adalah kawasan pergunungan, selain ada kereta kabel, sekaligus mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya kepada Bernama dalam liputan eksklusif media bersama Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF).

Beliau berkata, isyarat lampu navigasi itu akan membawa PATI mendarat di Teluk Nibong, berhampiran sebuah hotel 5 bintang yang terletak di pesisiran pantai.

Menceritakan penemuan kumpulan PATI itu, Rohizan berkata, ini kali kedua mereka membuat pendaratan di teluk berkenaan.

“Saya difahamkan pendatang tanpa izin berada di laut selama 4 bulan dan PPM menerima maklumat awal daripada nelayan yang ternampak sebuah kapal asing mencurigakan memasuki perairan negara.

“Sejurus menerima maklumat, PPM mengesan sebuah kapal yang didapati terkandas 500m dari teluk berkenaan dan mendapati sebahagian daripada mereka terjun ke laut bersama tekong serta berenang ke daratan.”

Pada 8 Jun lalu, Bernama melaporkan 269 warga Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan pihak berkuasa yang turut menemui mayat seorang wanita di atas bot yang dinaiki PATI terbabit.

Tiada ulasan: