Selasa, 30 Jun 2020

Cadang kenduri kahwin lebih 250 orang diadakan pada sesi berlainan – Persatuan

Bernama
MGF25062020_PERSIAPAN-DEWAN-PERKAHWINAN_3-681x454
Gambar Hiasan. foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) mencadangkan majlis perkahwinan atau kenduri dengan lebih 250 orang tetamu yang diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibahagikan kepada beberapa sesi.

Timbalan Presidennya, Daeng Syamsalleh Hamzah berkata, langkah itu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penganjuran majlis sosial yang ditetapkan kerajaan termasuk majlis perkahwinan dengan kapasiti kehadiran tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa.

“Walaupun banyak mana kapasiti ruang dewan atau tempat untuk sesuatu majlis perkahwinan diadakan, namun yang ditetapkan kerajaan hanya 250 kerusi sahaja dalam satu-satu masa dan tertakluk kepada saiz tempat majlis.

“Jika jemputan tetamu melebihi 250 orang, majlis itu mestilah diadakan dalam sesi berlainan dengan mengambil kira faktor jarak masa dan hari yang berlainan seperti pagi dan malam atau Sabtu dan Ahad,” katanya kepada Bernama selepas sesi penerangan SOP bersama lebih 200 pengusaha majlis perkahwinan di sini, hari ini.

Sebelum ini timbul pertanyaan mengenai bagaimana menyelesaikan isu pakej majlis perkahwinan atau kenduri melibatkan jumlah besar tetamu seperti yang telah dipersetujui antara pengguna dan pengusaha majlis perkahwinan dalam terma pakej perkahwinan sebelum SOP majlis sosial dikeluarkan kerana ancaman COVID-19.

“Sedia maklum, majlis perkahwinan yang telah dirancang lebih awal sebelum COVID-19 dan jemputan biasanya melebihi 1,000 orang termasuk persetujuan mengenai tetapan jumlah bayaran mengenai pakej perkahwinan.

“Jadi apabila jumlah tetamu dikurangkan dalam tempoh PKPP, pengusaha berkenaan haruslah bijak dengan menambah pakej seperti fotografi dan majlis akad nikah sesuai dengan bayaran yang dikenakan bagi pakej perkahwinan yang telah dipersetujui asal itu,” katanya.

Pada 24 Jun lepas, kerajaan telah mengumumkan kebenaran penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, majlis pertunangan dan majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah dan doa selamat mulai 1 Julai ini. – Bernama

Tiada ulasan: