Sabtu, 23 Mei 2020

Tiga negeri catat rekod cubaan rentas negeri tertinggi

HARAKAHDAILY

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato' Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR: Tiga negeri mencatatkan rekod tertinggi cubaan merentas sempadan negeri adalah Melaka, Perak dan Pulau Pinang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Ismail Sabri Yaakob berkata, mungkin ramai yang masih ingin mencuba merentas negeri ekoran pengumuman kerajaan semalam yang tidak lagi membenarkan pergerakan merentas negeri.

“Negeri yang mencatat cubaan merentas negeri tertinggi adalah Melaka, sebanyak 886, Perak 362 dan Pulau Pinang 284.

“Maknanya setiap hari saya mengulangi supaya jangan membuat rentas negeri dan semalam mungkin saya umumkan tiada lagi kebenaran merentas negeri.

“Mungkin ramai yang ingin mengambil kesempatan untuk rentas negeri (kerana)mereka takut hari ini ada sekatan dan sebagainya.

“Jadi semalam mereka cuba mengambil kesempatan, itu yang menyebabkan ramai lagi yang cuba merentas negeri,” ujarnya dalam sidang media harian PKPB, hari ini.

Katanya yang juga Menteri Pertahanan, Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) telah memeriksa sebanyak 264, 280 kenderaan dalam 154 sekatan jalan raya merentas sempadan negeri.

Hasil daripada pemeriksaan tersebut katanya, PDRM telah mengarahkan 2,539 kenderaan supaya berpatah balik dalam cubaan merentas sempadan negeri dengan alasan mahu pulang ke kampung.-

Tiada ulasan: