Ahad, 31 Mei 2020

Syed Saddiq dakwa Hamzah kata Muhyiddin gila jawatan PM

Syed Saddiq (kanan) bersama Ketua Penerangan Pemuda PPBM, Ulya Aqamah (tengah)
 dan Bendahari Pemuda, Rafiq Hakim pada sidang media di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Hamzah Zainudin mengatakan Muhyiddin Yassin, semasa masih timbalan presiden Umno, “gila jawatan hendak jadi perdana menteri”.

Syed Saddiq mendakwa Hamzah, ketika itu menteri perdagangan dalam negeri, koperasi, dan kepenggunaan dalam pentadbiran Najib Razak, berkata demikian dalam pertemuan untuk menarik beliau keluar daripada PPBM.

Hamzah ketika ini setiausaha agung PPBM, dilantik Presiden Muhyiddin Yassin pada 26 Mac lalu.

“Saya ingat lagi sebelum pilihan raya umum, salah seorang menteri jumpa dengan saya, cuba untuk tarik saya dari PPBM, tidak lain tidak bukan adalah orang sama yang ketuai PPBM sekarang ini untuk membuang Dr Mahathir Mohamad.

“Dia memanggil saya ke pejabat dan bila berjumpa, dia berkata ‘Muhyiddin gila jawatan hendak jadi perdana menteri, sebab itu dia masih menyerang perdana menteri Najib Razak’.

“Malangnya orang yang sama ini diberi kuasa untuk menentukan hala tuju PPBM. Individu ini tidak lain tidak bukan adalah Hamzah Zainudin,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Umno memecat Muhyiddin pada 2016 susulan perselisihan beliau dengan Najib berkaitan isu 1MDB.

Syed Saddiq berkata banyak perkara boleh beliau kongsikan dengan media namun buat masa ini beliau hanya hendak ingatkan Muhyiddin “siapa rakan kamu ketika kamu dalam keadaan susah dan senang”.

“Bahkan siapa yang tinggalkan kamu dan tikam kamu dari belakang, sehingga kamu tidak berkuasa dan melabel kamu sebagai seseorang yang gilakan jawatan dan hanya ingin jatuhkan Najib kerana hendak jadi perdana menteri,” katanya.

FMT sedang mendapatkan reaksi Hamzah.

Hamzah baru-baru ini mengesahkan keahlian Syed Saddiq dan 4 individu lain dalam PPBM terhenti serta-merta.

Sementara itu, Syed Saddiq turut mengulas dakwaan bekas setiausaha politik Mahathir, Zahid Md Arip mengatakan Mahathir sedia maklum dengan keputusan pimpinan PPBM yang berhasrat keluar Pakatan Harapan.

Zahid dipetik sebagai berkata “keputusan besar” itu tidak boleh diputuskan Muhyiddin seorang.

“Kalau betul, kenapa Mahathir keluarkan surat pemecatan kepada Zahid sehari selepas majlis pimpinan, selepas dia tikam Mahathir dari belakang?

“Kenapa Mahathir hendak keluarkan surat pemecatan kalau betul Zahid hanya ikut kata-katanya?”

Tiada ulasan: