Rabu, 27 Mei 2020

PAS - Gantung keluaran, jualan arak hingga isu pemandu mabuk selesai

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

PAS menggesa agar kerajaan segera menggantung pengeluaran dan penjualan arak sehinggalah isu kemalangan melibatkan pemandu mabuk dapat diselesaikan.

Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata, dalam tempoh penggantungan itu, kerajaan juga perlu menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani masalah tersebut.

"Tragedi pemandu mabuk bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Kesalahan ini berpunca daripada kelemahan perundangan dan penguatkuasaan, selain sifat pentingkan diri dan degil pemabuk. Lebih malang (mereka) menjadi pembunuh apabila telah menggadaikan jiwa yang tidak bersalah.

"Melihat kepada kekerapan isu kemalangan membabitkan pemandu mabuk ini, PAS mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin segera menggantung semua pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak sehingga semua langkah baru dapat diambil untuk menghalang pemandu memandu dalam keadaan mabuk," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, untuk melaksanakan cadangan itu, Jabatan Kastam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diminta menggantung semua lesen penjualan arak dan minuman beralkohol yang dijual secara terbuka di kedai serbaneka 24 jam.

Kemalangan maut melibatkan pemandu yang disyaki mabuk melibatkan satu insiden di Kuantan malam tadi, apabila sebuah kereta Toyota C-HR yang dipandu melawan arus merempuh sebuah kereta.

Mangsa yang merupakan lelaki berusia 41 tahun meninggal di tempat kejadian, manakala suspek, lelaki berusia 42 tahun, direman empat hari bermula hari ini.

Kamaruzaman turut memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 2016 yang meletakkan Malaysia di tempat kesepuluh dalam senarai pengambilan alkohol terbanyak dunia, dengan 15 liter per kapita pada tahun itu.

"Nyawa orang awam adalah keutamaan yang harus difikirkan kerajaan secara serius kerana ia menjadi satu lagi punca pertambahan kemalangan khasnya kemalangan maut di jalan raya atau di lebuh raya," katanya lagi.

Ketika pentadbiran lalu, bekas menteri pengangkutan Anthony Loke berkata usaha mengetatkan undang-undang berkenaan perkara itu telah dipersetujui secara prinsip dengan jangkaan dibawa ke sidang Parlimen pada Jun atau Julai tahun ini.

Antaranya dengan mengkaji semula Seksyen 41, 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang melibatkan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu secara berbahaya, dan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.

Bagaimanapun kerajaan PH tumbang pada akhir Februari lalu dan tumpuan negara kini beralih kepada usaha menangani krisis Covid-19.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memberi isyarat kerajaan akan menggubal undang-undang yang lebih ketat berkaitan memandu dalam keadaan mabuk.

Wee berkata beliau sedih dengan siri laporan mengenai kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mabuk.

"Pada 1 Jun 2020, saya akan memanggil satu sesi taklimat di Kemenpertian Pengangkutan bersama JPJ untuk segera meneliti dan menyemak cadangan pindaan akta berkaitan.

"Pindaan Akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambilkira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan, sebelum ianya dibentangkan di dalam mesyuarat jemaah menteri.

"Saya akan bertindak dan komited demi pembelaan kepada mangsa korban dalam kemalangan maut dan juga menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa," katanya.


Tiada ulasan: