Rabu, 27 Mei 2020

Mahathir cabar PAS: Buktikan saman RM1bilion itu wujud

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mahu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor membuktikan bahawa terdapat saman hampir RM1 bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan sebelum ini sekiranya kerajaan negeri tidak membuka semula konsesi balak.

“Takut disaman pembalak? Katanya ada saman RM1bilion? Sanggup tunduk ke pembalak?

“Buktikan saman RM1bilion itu wujud dan kerajaan negeri akan kalah. Berani kerana benar,” kata Dr Mahathir dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi sebagai berkata kerajaan negeri Kedah sedia mempertimbang membuka semula konsesi balak kepada syarikat tertentu susulan keputusan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang membatalkannya.

Ini berikutan keputusan menteri besar ketika itu, Mukhriz Mahathir yang pada Mac lalu mewartakan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.

Setiausaha akhbar kepada MB Kedah, Muhamad Mat Yakim kemudiannya tampil dan menjelaskan bahawa Muhammad Sanusi Md Nor hanya melontarkan cadangan bagi menyelesaikan masalah peninggalan pentadbiran PH.

Katanya, kenyataan itu "bukanlah satu cadangan untuk kerajaan negeri membuka kawasan baru pembalakan."

Beliau mendakwa masalah berbangkit setelah kelulusan konsesi pembalakan yang diberikan kemudian dibatalkan oleh kerajaan negeri sebelum ini sedangkan syarikat-syarikat berkenaan telah membayar premium.

Berikutan itu, implikasi yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan negeri sama ada berhadapan dengan tindakan mahkamah, membayar ganti rugi ataupun menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat-syarikat konsesi berkenaan, katanya.

Menjelaskan lanjut, Muhamad berkata tidak timbul soal memberikan kawasan ganti pembalakan jika Kedah "bersedia untuk membayar tuntutan ganti rugi yang dianggarkan mencecah nilai RM1 bilion."

Dr Mahathir dalam hantaranya di Facebook juga menulis “dahulu, konsesi balak diberhentikan untuk menyelamatkan kawasan tadahan air untuk membantu empat juta penduduk.”

Tetapi katanya, kini, konsesi balak mahu dibuka semula.

“Dahulu, konsesi balak diberhentikan untuk memberi bekalan air kepada sawah di Kedah & Perlis. Pengeluar 50 peratus sumber beras negara!

“Kini, si pembalak diagungkan dan kepentingan rakyat dan petani digadaikan,” katanya.

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhammad Sanusi mengambilalih kepimpinan negeri pada 17 Mei lalu setelah 23 Adun menandatangani pernyataan berkanun untuk mengatakan bahawa mereka telah kehilangan kepercayaan ke atas Menteri Besar PH Mukhriz Mahathir.

Ini susulan beberapa Adun PKR dan Bersatu yang berpaling tadah hingga menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang di Kedah.

Menurut Mahathir, sejarah baru tercipta, dengan khazanah Kedah dijarah demi "pelaburan strategik" si pembalak.

“Jangan jual rakyat. Jangan jual hutan. Jangan jual khazanah Kedah demi kawan kamu, si pembalak.

“Moga Allah SWT terus melindungi Kedah dari tangan tangan pemimpin yang tidak amanah,” katanya mengakhiri hantaran itu.


Tiada ulasan: