Rabu, 27 Mei 2020

Lagi gesaan agar KM ambil tindakan terhadap 2 'Adun khianat'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Lagi seruan agar Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengambil tindakan terhadap dua Adun Bersatu yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

Langkah itu - yang dibuat Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang) - tidak membawa kepada pertukaran kerajaan negeri seperti di Kedah, tetapi ia meningkatkan bilangan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada tiga kepada lima orang.

Pemuda Amanah Pulau Pinang hari ini menggesa Chow perlu lebih tegas dalam dalam menangani tindakan dua Adun itu, yang pernah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri sebanyak dua kali ketika kemuncak krisis politik sebelum ini.

Ketuanya Muhamad Khairul Mohd Ali berkata, mereka telah melanggar semangat PH yang dimeterai sejak PRU 2018.

"Malah perbuatan itu dilihat sebagai pengkhianatan terhadap mandat rakyat kepada kerajaan PH. Semua watikah pencalonan semasa PRU ditandatangani presiden PKR ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Kemenangan kedua-dua Adun tersebut adalah atas semangat setiakawan dalam PH ketika itu," katany dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang Fahmi Zainol mengingatkan Chow untuk mengotakan janji agar adun yang "khianat dan berpaling tadah daripada mandat rakyat" mengosongkan kerusi mereka.

Pada Mac lalu, Chow dalam kenyataan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Adun yang berbuat demikian.

Menurutnya, ia selaras dengan Enakmen Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2012 berhubung tindakan antilompat parti di negeri itu.

Malaysiakini telah menghubungi Chow untuk mendapatkan respon.

Sebelum ini, Khaliq berkata beliau hanya mengikut arahan parti untuk mengubah sokongan, manakala Zolkifli berkata Bersatu tidak lagi menerima sebarang undangan untuk menghadiri majlis kerajaan negeri sejak perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Khairul berkata malang sekali buat pengundi Khaliq dan Zolkifli yang telah mengkhianati undi mereka.

Beliau juga berkata sudah tiba masanya kerajaan negeri melakukan "pembersihan besar-besaran" terhadap "anasir pengkhianat" dalam pentabdiran.

"Ini perlu disegerakan demi menjaga keharmonian kerajaan PH di Pulau Pinang.

"Kami menggesa ketua menteri untuk segera mengambil tindakan di bawah Enakmen Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2012 berkenaan antilompat parti terhadap dua Adun tersebut," katanya lagi.


Tiada ulasan: