Sabtu, 30 Mei 2020

Kes Zahid: Peguam selar pendakwa buang masa mahkamah

PEGUAM, Datuk Rosni Zahari menyelar pihak pendakwa kes membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai membuang masa mahkamah.

Beliau selaku peguam pemerhati dalam catatan Facebook berkata, kes-kes di mahkamah dibiarkan berlarutan yang tidak tahu bila akan berkesudahan.

“Sebanyak 47 pertuduhan ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Presiden UMNO apa dah jadi?” soal beliau.

Kata Rosni, umum mengetahui bahawa kesemua pertuduhan ke atas Ahmad Zahid adalah bermotif politik dan berniat jahat.

“Sebanyak 12 pertuduhan di bawah seksyen 409 kanun keseksaan (Pecah amanah jenayah oleh penjawat awam).

“Sebanyak lapan pertuduhan di bawah seksyen 16(a)(B)akta SPRM – Kesalahan menerima suapan dan 27 pertuduhan di bawah seksyen 4(1) Akta Penggubahan Wang Haram,” katanya.

“Setakat ke tarikh ini seramai 43 orang saksi telah di panggil dan saya selaku peguam pemerhati yang telah beramal selama lebih 30 tahun , saya tak nampak satu saksi pun dalam keterangan mereka yang dapat dan boleh mengaitkan dengan semua pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.

“Betul betul membuang masa mahkamah, membuang masa saksi saksi dan menanggung kos yang tak wajar,” katanya. – SM


Tiada ulasan: