Rabu, 27 Mei 2020

Kedah tak buka kawasan balak baru, jelas pejabat MB

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
Pejabat Menteri Besar Kedah tampil menjelaskan laporan negeri itu "sedia mempertimbang membuka semula konsesi balak daripada membayar tuntutan saman hampir RM1 bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan sebelum ini."

Setiausaha akhbar kepada MB Kedah, Muhamad Mat Yakim berkata menteri besar Muhammad Sanusi Md Nor hanya melontarkan cadangan itu bagi menyelesaikan masalah peninggalan pentadbiran PH.

Tegasnya, kenyataan menteri besar Kedah itu "bukanlah satu cadangan untuk kerajaan negeri membuka kawasan baru pembalakan."

"Masalah yang berbangkit setelah kelulusan konsesi pembalakan yang diberikan kemudian dibatalkan oleh kerajaan negeri sebelum ini sedangkan syarikat-syarikat berkenaan telah membayar premium.

"Berikutan itu, implikasi yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan negeri sama ada berhadapan dengan tindakan mahkamah, membayar ganti rugi ataupun menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat-syarikat konsesi berkenaan," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menjelaskan lanjut, Muhamad berkata tidak timbul soal memberikan kawasan ganti pembalakan jika Kedah "bersedia untuk membayar tuntutan ganti rugi yang dianggarkan mencecah nilai RM1 bilion."

"Dalam hal ini, kerajaan negeri bertegas bahawa kawasan lain yang diganti itu mestilah dalam kawasan hutan pengeluaran yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa.

"Keutamaan kerajaan negeri ialah kehidupan rakyat akan dipastikan tidak terganggu, tiada pencemaran, tidak ada penggondolan, hakisan, banjir lumpur dan lain-lain akibat yang boleh membawa kemusnahan kepada alam sekitar dan kehidupan manusia sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang.

"Langkah-langkah ini akan diberi perhalusi dan diberikan pertimbangan sewajarnya," katanya lagi.
Terdahulu, portal Berita Harian Online memetik Sanusi sebagai berkata kerajaan Kedah sedia mempertimbang membuka semula konsesi balak daripada membayar tuntutan saman hampir RM1 bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan sebelum ini.

Katanya, syarikat pembalakan terbabit sebelum ini dibatalkan konsesi mereka berikutan keputusan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mewartakan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.

"Tuntutan itu agak besar, jadi kalau boleh diganti tempat (kawasan pembalakan) yang tidak menjejaskan alam sekitar dan tidak mendatangkan kerosakan kepada orang ramai, kita akan ganti.

"Mereka sudah bayar premium, jadi tak adil untuk mereka. Saya tidak boleh lari daripada keputusan (pembatalan konsesi) kerajaan yang sudah ada ikatan undang-undang, namun perkara ini boleh diselesaikan," katanya.

Difahamkan terdapat 40 konsesi balak yang membuat tuntutan ganti rugi susulan arahan pemberhentian semua aktiviti pembalakan tahun lalu.

Pada Mac tahun lalu, kerajaan negeri pimpinan PH membatalkan semua konsesi balak di Ulu Muda bertujuan memulihara khazanah alam, walaupun terpaksa kehilangan hasil puluhan juta melalui aktiviti pembalakan.

Tiada ulasan: