Rabu, 27 Mei 2020

BN dijangka menang besar di PRK DUN Chini

Wartawan MalaysiaGazette
MGF06012020_HUMAN-INTEREST-PRK-KIMANIS_04-681x454
Barisan Nasional (BN) dijangka menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dijangka menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini.

Ini kerana DUN berkenaan bukan sahaja kubu kuat BN tetapi dengan pengisytiharan Pas untuk tidak bertanding juga memberi banyak kelebihan kepada BN mengekalkannya.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, pihaknya akan membuat persiapan membantu BN berkempen kelak atas dasar Muafakat Nasional.

“Setakat ini, Pas membuat persiapan dari sudut menyediakan atau menyusun organisasi jentera pilihan raya untuk membantu calon BN,” katanya kepada sebuah portal semalam.

Selain itu, DUN Chini yang terletak di bawah Parlimen Pekan yang diwakil oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sudah tentu memberi banyak kelebihan kepada BN kelak.

Penamaan calon bagi PRK Chini di Pahang akan diadakan 20 Jun ini dan hari mengundi pada 4 Julai nanti.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas pada 7 Mei lalu.

Beliau yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum 2018, berjaya mempertahankan kerusi disandangnya itu dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 4,622 undi mengalahkan calon Pas yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili Pakatan Harapan pula hanya meraih 1,065 undi.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: