Ahad, 31 Mei 2020

Anwar sebagai bakal PM membosankan rakyat, Azizah calon terbaik

PARTI Keadilan Nasional sebagai parti utama dalam Pakatan Harapan perlu lebih berani untuk mula menampilkan tokoh-tokoh baharu sebagai alternatif calon Perdana Menteri.

Menurut Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah Haris Alimudin, agenda PKR bahawa hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri membosankan rakyat.

Menurut beliau, PKR mempunyai ramai tokoh yang berwibawa untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri termasuk Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Agenda hanya Anwar Ibrahim sebagai bakal PM membosankan rakyat. PKR sebagai parti utama harus lebih berani untuk mula menampilkan tokoh-tokoh baharu sebagai alternatif selepas DSAI.

“Hakikat bahawa aura reformasi sudah memudar harus diterima. PKR mempunyai ramai tokoh yang telah berjaya dibina. Calon terbaik buat masa ini adalah Datuk Seri Wan Azizah sendiri.

“Seorang wanita dan tidak mempunyai political baggage yang berat,” kata Haris dalam satu artikel yang ditulis dan diterbitkan di Gemilang Daily.

Dalam artikel bertajuk ‘Saranan untuk PH andai dapat kembali berkuasa’ itu, Haris juga berkata, masalah utama PKR adalah pemimpin dan wakil rakyatnya yang tidak jujur sehingga mudah melompat.

Jelas beliau, PKR perlu membina kesetiaan kepada parti. Ahli-ahli yang sudah teruji kesetiaan kepada parti mesti diberikan keutamaan menjadi pemimpin dan calon pilihanraya agar tidak mudah dibeli dan berpindah parti.

Sementara itu mengenai Amanah, Haris berkata, parti itu masih belum dikenali dan agenda Amanah masih jauh dari difahami pengundi.

Amanah diharapkan menggantikan peranan Pas di dalam PH itu kata beliau, sehingga kini masih dilihat tidak mampu menyaingi pengaruh Pas khususnya di kawasan tradisional Melayu Islam.

“Kebanyakan pemimpin Amanah adalah bekas pimpinan Pas di semua peringkat dan hakikat bahawa Amanah terbina dari serpihan Pas harus diterima.

“Sentimen ini masih terbawa-bawa sehingga dilihat Amanah terlalu fokus menyerang Pas dan menenggelamkan agenda lainnya. Rakyat kebanyakan yang tidak pernah peduli romantisme ini melihat ia dengan bosan dan muak,” kata Haris.-SM

Tiada ulasan: