Rabu, 29 April 2020

Zahid nafi dakwaan dana AS$50 juta bantu Rohingya masuk akaun peribadi

MALAYSIAKINI

Malaysiakini


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan menerima dana berjumlah AS$50 juta daripada Qatar Development Fund yang bertujuan untuk membantu pelarian Rohingya di Malaysia dan dimasukkan ke akaun peribadi.

"Ada beberapa perkongsian di Facebook menuduh saya telah menerima dana dari Qatar Development Fund dan dimasukkan ke akaun persendirian.

"Tuduhan ini jelas fitnah dan bertujuan mengaibkan saya," katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa lalu mengusahakan dana bagi membantu pelarian Rohingya di Malaysia.

"Qatar berbesar hati memberi penajaan terhadap isu Malaysia ketika itu.

"Namun kerajaan ketika itu tidak menerima apa dana atau bantuan bagi membantu Rohingya. Sehinggalah tampuk di Putrajaya berubah," katanya.

Sebaliknya, Ahmad Zahid berkata "dana sebanyak AS$50 juta diterima ketika Pakatan Harapan menguasai Putrajaya."

MP Bagan Datoh itu turut berkongsi pautan Facebook bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menyokong kenyataannya.

Pada hantaran bertarikh 25 November 2018, Dr Wan Azizah menulis: "Saya mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada beliau atas sumbangan AS$50 juta Kerajaan Qatar untuk program bantuan pelarian Rohingya.

"Zahid menggesa PH memberikan penjelasan terperinci mengenai dakwaan dana dari Qatar ini.

"Malah Duta Qatar Essa Mohamed juga menyatakan kerajaan Qatar telah mengikrarkan AS$50 juta (RM198.9 juta) bagi membantu masyarakat Rohingya di Malaysia.

"Kenyataan ini dikukuhkan dengan kedatangan Pengerusi Yayasan Qatar bagi Pembangunan Pendidikan, Sains dan Komuniti (QF) dan Pendidikan Yang Penting (EAA), YAM Sheikha Moza Nasser ke Malaysia dan lawatan ke pusat pembelajaran anak pelarian," dakwanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Dr Wan Azizah bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan ini.

LIHAT FB DI SINI

Tiada ulasan: