Sabtu, 4 April 2020

Rakyat Malaysia dikuarantin di India kerana berada di kawasan perhimpunan tabligh

Rakyat Malaysia di India dalam video yang tular di media sosial telah dikuarantin kerana berada di kawasan berhampiran Markaz Nizamudin.

Markaz tersebut  merupakan tempat perhimpunan jemaah tabligh yang berisiko tinggi menularnya virus maut COVID-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya telah berhubung dengan Kementerian Luar Negeri India berhubung perkara itu. Pihak kerajaan India berjanji akan beri perhatian dan kerjasama sepenuhnya menyelesaikan isu terbabit.

Hishammuddin mengulas klip video yang tular di media sosial dan Whatsapp sekumpulan rakyat Malaysia yang meluahkan perasaan kerana dikuarantin di sebuah kawasan yang disifatkan sebagai kotor dan kurang kemudahan.

“Ramai tanya saya berkenaan video yang tular mengenai rakyat Malaysia di India semalam.

“Saya ingin maklumkan bahawa rakyat Malaysia tersebut telah dikuarantin oleh pihak berkuasa India kerana mereka berada di Markaz Nizamudin – salah satu kawasan di India yang berhampiran dengan tempat perhimpunan tabligh yang berisiko tinggi menularnya #COVID19,” jelas Hishammuddin.

Menurut Hishammuddin, Wisma Putra mahu isu berkenaan diselesaikan secepat mungkin dan akan mendapatkan sebab sebenar di sebalik kejadian tersebut.

Dalam video yang tular itu beberapa rakyat Malaysia meluahkan rasa sedih kerana tempat mereka dikuarantinkan berhabuk dan kotor.

Selain itu mereka juga mendakwa tinggal sehelai sepinggang kerana apabila pihak berkuasa India mengambil mereka dari hotel telah memberitahu tidak perlu membawa beg pakaian kerana hanya mahu di bawa ke hospital untuk memeriksa darah.

Dalam video tersebut, mereka turut mengeluh kerana sukar untuk mendapatkan makanan selain mendakwa penerbangan pulang adalah sehari selepas mereka dikuarantinkan.-SM

Tiada ulasan: