Khamis, 23 April 2020

Pintu sempadan Sadao tutup 7 hari, polis, pegawai imigresen positif COVID-19

Bernama

imi


SONGKHLA – Pintu Sempadan Sadao di Songkhla, selatan Thailand diarah tutup selama tujuh hari bermula esok berikutan sekurang-kurangnya empat pegawai imigresen dan polis Thai yang bertugas di pintu sempadan itu disahkan positif COVID-19.

Arahan itu dikeluarkan Gabenor Songkhla, Jaruwat Kliangklao pada hari ini.

Penutupan pintu sempadan Sadao yang dibuka semula pada Sabtu lepas untuk kemasukan warga Thailand yang terkandas di Malaysia akan tutup bermula esok sehingga 29 April ini.

Jaruwat berkata, penutupan itu membolehkan operasi disinfeksi dilakukan.

“Berikutan penutupan pintu sempadan Sadao, warga Thai yang telah mendaftar untuk pulang dari Malaysia boleh menggunakan pintu sempadan Padang Besar di Songkhla,” katanya.

Bermula Sabtu lepas, lima pintu sempadan Thailand-Malaysia dibuka semula membolehkan warga Thai yang terkandas di Malaysia pulang. Mereka yang pulang perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Sehingga hari ini, kira-kira 1,600 warga Thai telah pulang ke tanah air. – Bernama


Tiada ulasan: