Jumaat, 24 April 2020

Pelarian Rohingya, sudah-sudahlah Khalid berpolitik

Manzaidi Mohd Amin
Azhari Shaari
Azhari Shaari
 

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) harus melihat banyak sudut sebelum menghentam kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak prihatin dengan nasib pelarian Rohingya.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, status Ahli Parlimen kawasan itu, Khalid Samad menerusi akaun Twitternya seolah memperkecilkan tanggungjawab kerajaan PN terhadap pelarian.

“Berkenaan isu bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya ini, Khalid hanya melihat dari satu sudut sahaja, dia tidak fikir soal keselamatan negara.

“Sebenarnya kerajaan Malaysia termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini sejak dahulu lagi banyak menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian ini,” katanya menerusi hantaran akaun Facebook beliau, hari ini.

Khalid dalam ciapan Twitternya menyatakan, “PH berdiri bersama golongan yang tertindas dan dizalimi. Itu kewajipan agama Islam, agama Melayu Islam saya tak tahulah. Kalau menyamun pun ok, mungkin tidak membela mangsa kezaliman pun ok..”

Ciapan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mengundang kemarahan netizen, yang bertanya, apa kerajaan PH lakukan kepada kumpulan pelarian Rohingya ketika mentadbir kerajaan Persekutuan selama 22 bulan.

Sebelum itu, ada desakan dari wakil pelarian Rohingya yang meminta kerajaan Malaysia memberi layanan sama rata dengan warganegara seperti tempat tinggal, kad pengenalan dan pekerjaan.

Menurut Azhar, dari yang puluhan ribu masuk ke negara ini, kerajaan tidak tahu latar belakang mereka.

Katanya, kemungkinan ada penjenayah, penyakit atau elemen yang tidak diketahui masuk ke dalam negara ini tanpa disedari sebab mereka tiada pengenalan diri dan kerajaan tidak mempunyai data mengenainya.

“Malaysia dikenali dunia sebagai hub-pengganas, apabila menjadi transit atau tempat pengganas bersembunyi. Contohnya, kita lihat bagaimana LTTE terus berkembang di negara ini, selain fahaman ISIS.

“Mengenai soal membantu, ketika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi, kerajaan Malaysia telah membina hospital di Cox’s Bazar bernilai RM3.5 juta dan dipersetujui Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.

“Di Malaysia pula terdapat lebih 200,000 pelarian Rohingya berlindung menggunakan kad UNCHR. Ada yang tiada dan mempunyai organisasi sendiri seperti MEHRAM di setiap negeri di negara ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, adakah kerajaan Malaysia masih tidak berperikemanusiaan?

“Saya nasihatkan Khalid sudah-sudahlah berpolitik dan memburuk-burukkan kerajaan PN. Selain menjaga kebajikan pelarian, kerajaan PN juga perlu menjaga dan melindungi keselamatan lebih 32 juta rakyatnya,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: