Isnin, 6 April 2020

Pekebun kecil berdepan masalah lambakan produk tani ketika PKP

Ishak Othman di samping tanamannya di di Kampung Banjar, 
Ayer Tawar, Perak.
PETALING JAYA: Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) oleh Putrajaya lebih 2 minggu lalu bagi mengekang wabak Covid-19, memberi kesan langsung kepada pekebun yang menjalankan penanaman kecil-kecilan.

Ishak Othman, 52, yang merupakan petani di Kampung Banjar, Ayer Tawar, Perak berkata, beliau terpaksa bergelut dengan situasi semasa negara sehingga perlu mencari jalan penyelesaian sendiri bagi menjual hasil tanamannya.

“Dahulu tidak ada masalah dari sudut pasaran. Sekarang ini dalam tempoh 2 minggu ini, disebabkan wabak Covid-19, memang ada sedikit masalah dengan pasaran.
Terung merupakan antara sayuran yang ditanam di kebun seluas 3 ekar milik Ishak.
“Hasil tanaman tidak boleh dihantar ke Pasar Selayang,” katanya kepada FMT.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan, tempoh pelaksanaan PKP dilanjutkan sehingga 14 April disebabkan peningkatan kes positif Covid-19.

Ishak yang menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak 2008 dengan mengusahakan tanaman timun dan terung di tanah seluas 3 ekar, berkata ini merupakan kali pertama pendapatannya menurun mencecah hingga 50%.

“Pemborong tidak lagi membeli dengan kadar biasa. Hal ini kerana, mereka juga bimbang tidak dapat menjualnya dan terpaksa mengagih-agihkan tanaman di kedai-kedai runcit sayur berhampiran dengan Setiawan, Perak.

“Sedangkan saya perlu membayar gaji 4 orang pekerja, kos racun, kos baja dan kos penghantaran. Pendapatan juga antara RM200 hingga RM300 selang sehari.

“Bermakna antara RM100 hingga RM150 sehari. Jika dahulu boleh cecah RM400 hingga 500 untuk 2 hari,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Ishak, masalah bekalan sayur tidak terjual dapat diselesaikan dalam tempoh PKP fasa pertama apabila Putrajaya memberi jaminan pasar-pasar awam seluruh negara tidak ditutup semasa PKP.

“Masalah pasaran sudah semakin baik, tauke juga sudah ambil antara 8 hingga 10 bakul hasil tanaman. Baki sayuran selebihnya, saya sendiri cari kedai-kedai di sekitar sini, untuk letakkan dan jual secara runcit. Ada masa hasil tanaman habis dijual, ada masa tidak,” katanya.

Sukar dapat bekalan baja

Masalah yang dialami Ishak bagaimanapun tidak berakhir apabila beliau sukar mendapatkan bekalan baja, memandangkan kedai baja berhampiran kebunnya menutup sementara operasi mereka dalam tempoh PKP.

“Kedai-kedai di sini tidak lagi menjual jenis baja yang saya perlukan. Menurut mereka, ketika ini lori-lori yang membawa baja tidak lagi dibenarkan untuk menghantar barangan ke kedai-kedai. Ia memang menjadi masalah pada saya.

“Saya sendiri runsing daripada mana saya hendak dapatkan baja dalam keadaan sekarang ini. Kalau sudah ada baja tidak ada masalah.

“Apa-apapun, saya sangat berharap supaya kawasan sini tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Jika berlaku, memang bertambah rugi lah saya,” katanya.

Terpaksa jual secara runcit

Seorang lagi petani, Rashidi Salleh, 49, yang mengusahakan tanaman jagung di Kampung Paya Ladang, Chenor, Pahang sejak 3 bulan lalu berkata, harapannya untuk melihat hasil pertama dibeli secara borong lebur sekelip mata dan terpaksa menjualnya secara runcit.
Rashidi Salleh di samping tanaman jagungnya di Kampung 
Paya Ladang, Chenor, Pahang.
“Pemborong tidak mahu ambil kerana mereka juga takut tidak boleh jual. Jadinya, saya terpaksa jual runcit, jadi keadaan itu susah sedikit, dengan cara ini saya boleh menjual antara 600 tongkol jagung dalam sehari. Sedangkan pengeluaran jagung untuk sehari boleh mencecah antara 1,000 hingga 1,500 tongkol.

“Jual runcit ini tidak sama, kerana kita tidak tahu berapa jualan untuk hari ini dan esok, semuanya bergantung pada nasib dan rezeki.

“Apatah lagi dalam tempoh PKP ini, orang juga tidak ramai untuk keluar dari rumah, jadi memang terjejaslah perniagaan,” katanya.

Beliau yang menanam jagung di tanah seluas 4 ekar sudah membelanjakan lebih RM50,000 untuk keseluruhan perbelanjaan di peringkat permulaan, berharap hasil jualan tanamannya dapat memberikan pulangan untuk pusingan kedua tanaman.
Rashidi terpaksa menjual jagung secara runcit sejak pelaksanaan
 PKP. (gambar gerai)
“Saya ini baru pertama kali menanam jagung. Modal memanglah agak besar untuk peringkat permulaan kerana saya membelanjakan wang untuk kerja cuci tanah, ratakan tanah, pemasangan paip air, benih dan sebagainya. Tetapi tidak tahu pula jadi begini,” katanya.

Rashidi berkata, berdasarkan pengalaman rakan-rakannya sebelum PKP, mereka boleh menjual sehingga 2,000 tongkol sehari kepada pemborong. Namun, semasa tempoh PKP, amat sukar untuknya menjual sehingga 1,000 tongkol sehari.

“Sebenarnya kalau ikut dalam keadaan biasa, memang tidak ada apa-apa isu. Sebelum menanam, saya juga ada buat survey, berdasarkan pemerhatian memang tidak ada masalah dari sudut penjualan, bahkan pemborong juga tidak ragu-ragu untuk ambil hasil tanaman.“Ketika ini, kalau ada pemborong yang berminat untuk membeli, mereka pula tawarkan dengan harga yang amat murah.

“Sekiranya saya bersetuju untuk jual kepada pemborong berkenaan, saya pula yang jadi rugi, saya tidak mahulah macam itu,” katanya.

Jelasnya, tidak dinafikan terdapat beberapa agensi kerajaan berusaha membantu perniagaannya, namun beliau tidak dapat melakukan apa-apa kerana terdapat kekangan logistik dan permintaan dalam tempoh PKP.

“Saya berterima kasih kepada jabatan kerajaan kerana turut mempromosikan hasil tanaman saya. Memang ada pembeli yang hubungi tetapi masalah lain pula yang timbul, kerana dalam tempoh PKP ini, pembeli lebih berminat untuk penjual hantar barangan hingga ke rumah.

“Macam saya ini di Chenor, dapat mesej dari Maran, Kuantan dan lain-lain, macam mana saya hendak hantar. Macam tidak komersial dan tidak berbaloi apabila pembeli hanya beli jagung untuk nilai RM20 tetapi saya kena hantar 40km,” katanya.

Ditanya, apakah yang akan dilakukan bagi memastikan kelangsungan hasil tanamannya terjual dalam tempoh 14 hari lagi, Rashidi berkata beliau akan terus berusaha untuk menjual hasil tanamannya secara runcit dan berharap ada pemborong yang membeli jagungnya walaupun sedikit.

“Inilah cabaran yang perlu saya hadapi, walaupun dalam keadaan begini saya berharap dapat habiskan jualan,” katanya.

Tiada ulasan: