Rabu, 1 April 2020

Menguruskan kesan ekonomi Covid-19 dengan kreatif

Dunia buntu. Kini lebih 178 ketua kerajaan dikerah bertungkus lumus menyelamatkan kelangsungan manusia akibat wabak Covid-19.

Semua orang baik di Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam atau pekan kecil Inverie di Scotland, mereka kini terpaksa menghitung nasib, terperuk di rumah bagi mengelak hawar yang sudah menjangkiti hampir 800,000 orang di seluruh dunia dalam masa kurang empat bulan.

Baik negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Itali, Korea Selatan, Jepun atau membangun seperti Malaysia dan mundur di benua Afrika, semuanya tidak terkecuali angkara wabak yang mula dikesan secara rasmi di Wuhan, China Disember lalu.

Lebih malang buat bekas wartawan, Alexander Boris de Pfeffel Johnson yang bukan saja bimbang angka korban Covid-19 hampir 1,250 orang di negara itu, jantung perdana menteri Britain itu turut berdegup kencang kerana dirinya sendiri termasuk dalam angka 19,522 orang yang disahkan positif dijangkiti.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, menteri kesihatannya, Matt Hancock turut positif.

Mempelajari teknik membendung penularan penyakit berjangkit yang dianggap paling buruk dalam sejarah peradaban dunia ini daripada pegawai perubatan dan pihak berkuasa di Wuhan, pakar dan pentadbir Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengarahkan rantaian jangkitan dihentikan.

Perintah berkurung atau perintah kawalan pergerakan - baik ketat atau longgar - dikuatkuasakan di serata dunia.

Akibatnya, ekonomi seakan terhenti. Hanya mereka yang terbabit dalam aspek keselamatan dan kesihatan di pelbagai sektor dibenar bertugas tetapi perlu mematuhi garis ketat amalan penjagaan kesihatan.

Walaupun baru melanda, sudah jutaan pekerja dibehentikan kerja di seluruh dunia kerana operasi syarikat - pembuatan atau perkhidmatan - terpaksa menggantung operasi masing-masing.

Penyedut habuk ke ventilator

Mungkin ada yang bernasib baik masih dibenar bekerja dari rumah, tetapi terlalu ramai yang bingung tanpa punca rezeki.

Di Pulau Pinang, syarikat pembuat sarung tangan terbesar dunia yang membekal banyak keperluan pakaian penjagaan kesihatan, turut terkeliru, menyaksikan produk penghasilan mereka susut seketika.

Tapi, keadaan panik tidak pula menyebabkan Boris Johnson hilang arah. Di sebalik kedudukan dirinya yang dikuarantin selepas mengarah rakyat tidak keluar rumah, beliau turut memberi insentif kepada syarikat pembuatan negara itu beralih bidang dengan menumpukan pula produk kesihatan.

Misalnya, Dyson - jenama terkemuka penyedut habuk hampagas - diberi insentif untuk menghasilkan ventilator, alat bantuan pernafasan buat pesakit Covid-19 yang serius.

Bagi Sir James Dyson - lahir di Cromer, Norfolk, England yang menjadi jutawan penyedut hampagas tanpa beg terkemuka dunia - membuat ventilator bukan ilmu yang ada didadanya tetapi ia suatu yang wajib dilakukan.

Ia juga perlu diusahakan agar rakyat negara itu kekal sihat dan boleh bekerja.
Gambar hiasan
Di India dalam usaha meningkatkan peralatan dan keperluan kesihatan, kerajaan menggembleng syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta menghasilkan topeng muka, ventilator dan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk doktor dan jururawat.

Syarikat elektronik dan komunikasi milik negara, Bharat Electronics Ltd, contohnya diarah menghasilkan 30,000 peranti bantuan pernafasan untuk pesakit.

Kementerian Kesihatan India pula menyatakan, mereka mendapat jaminan syarikat ubat negara itu akan terus menghasil dan membekalkan ubat-ubatan selain banyak syarikat diberikan kelulusan khas kerajaan untuk menghasilkan pelbagai produk kesihatan termasuk PPE dan cecair pembersih tangan.

Bagi pemerhati, langkah itu membolehkan kerajaan memastikan kelangsungan bekalan barangan keperluan perubatan, menawarkan pekerjaan selain menyekat tindakan pihak tertentu menangguk di air keruh menaikkan harga andai bekalan berkurangan di pasaran.

Bantuan tunai bersifat sederhana

Jumaat lalu, Kementerian Perindustrian China pula menyatakan, ia meningkatkan insentif dan bantuan kepada syarikat pembuat mesin ventilator negara itu agar mengeluarkan lebih 30,000 alat berkenaan.

Ketika banyak kawasan di China masih menghadapi perintah kawalan pergerakan, kilang-kilang masih menggaji pekerja yang sihat bagi mengeluarkan pelbagai barangan kesihatan baik untuk kegunaan tempatan atau luar negara.

Laporan juga menunjukkan selain kecekapan serta langkah berkurung, teknologi digunakan sepenuhnya kerajaan China, Korea Selatan serta Singapura bagi memantau kesihatan penduduk, serta membendung wabak.

Penguasaan teknologi semata tidak cukup andai tiada penggerak atau pekerja.

Dan ketika inilah, pihak berkuasa perlu bijak memastikan bahawa rakyat yang menjadi aset utama negara bukan saja terus sihat tetapi mampu kreatif menyara hidup.
Bantuan kewangan yang dianggap cash is king hanya sementara, tetapi langkah menghadapi krisis Covid-19 memerlukan pendekatan menyeluruh agar ekonomi tidak runtuh.

Andai bekalan tidak cukup atau kos menjadi tinggi, pendekatan India boleh dipelajari dengan menggunakan segala sumber dalaman bagi menghasilkan produk yang diperlukan.

Kerajaan mana-mana negara tidak boleh sekadar mahu dilihat sebagai prihatin dan pemurah, tetapi pada masa sama - dengan penuh madah dan helah - mengekalkan birokrasi dan cukai, sehingga mencekik usahawan serta rakyat.

Kita lihat kisah pengilang topeng muka di Selangor baru-baru ini. Pemiliknya mengeluh dengan menyatakan, kilangnya mungkin terpaksa menghentikan pengeluaran kerana terpaksa berdepan dengan duti dan cukai tinggi selain kos mendapatkan bahan mentah dari luar negara yang melambung tinggi, menyukarkan mereka menjual topeng di pasaran kurang daripada harga siling RM1.50.

Peniaga kecil boleh dibimbing

Juga di Selangor, tampil sebuah syarikat yang ingin mendapat akses membantu mencari penawar Covid-19, tetapi tidak diberi muka, mungkin atas alasan syarikat itu hanya pakar ke atas vaksin ayam.
Pegawai syarikat seperti yang dipetik portal berita Malay Mail berkata, hasrat mereka yang ingin membantu adalah disebabkan penemuan awal saintis Israel berkaitan pelalian ayam yang mungkin dapat membantu membendung Covid-19.

Kisah Pokde pula menyaksikan beliau dihalau dari tepi padang futsal Taman Putra Perdana, juga di Selangor, atas alasan beliau melanggar perintah kawalan pergerakan dengan menjual ikan segar murah secara terus daripada nelayan Sekinchan di tempat terbuka.

Kita membaca di dada akhbar tampil pelbagai pihak membantu menghasilkan topeng muka, PPE untuk disumbangkan kepada pihak hospital, seperti sukarelawan di Negeri Sembilan dan Kelantan.

Ada juga badan sukarela dan kebajikan diherdik kerana didakwa mengundang risiko dengan mengedarkan sendiri bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan.

Hakikatnya adalah, semua kisah baik di luar negara atau di dalam Malaysia perlu dilihat secara positif dan kreatif.

Pokde misalnya boleh dibimbing dengan diberikan didikan berniaga secara sihat atau lesen sementara menjual ikan segar murah tanpa perlu mematikan terus punca rezekinya.
Syarikat yang terpaksa menghentikan operasi, bukan saja boleh diberi izin mengalih bidang menghasilkan segera barangan perubatan atau pelalian, tetapi turut perlu menawarkan mereka galakan, insentif, pelepasan cukai, pengecualian dan sebagainya.

Kita lihat, Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) AS mempunyai pelbagai karenah ketat tetapi melonggarkan syarat kelulusan ventilator Korea Selatan - lulus tidak sampai sehari - kerana mereka sedar, birokrasi bakal menyaksikan lebih ramai rakyat mereka mati.

Jika di Singapura, tentera turut dikerah membantu mengagihkan topeng percuma kepada rakyat, apa salahnya tentera kita turut diguna untuk menggembleng sukarelawan sedia ada menghasilkan pelbagai keperluan secara lebih tersusun bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat?

Peserta program Kemas umpamanya, juga boleh digembleng untuk membantu menghasilkan barangan makanan selain mungkin bagi mereka yang mempunyai tanah terbiar, diberikan insentif menghasilkan tanaman sayuran kontan yang sekurang-kurangnya dapat membantu keluarga masing-masing.

Mungkin akan dianggap terlalu idealistik, tetapi tidak salah jika kita memanfaatkan dugaan ini dengan menyusun semula keutamaan dan keseimbangan ekonomi antara kaum.

Jika negara lain boleh kreatif, jujur dan ikhlas pada detik sesukar ini, Malaysia yang mempunyai latar belakang agama dan adat resam yang kukuh pasti mampu membuat keputusan lebih baik dan lebih menyeluruh.


MEOR HISHAM ZULKIFLI ialah bekas wartawan.


Tiada ulasan: