Khamis, 23 April 2020

Malaysia berhak tolak pelarian Rohingya

ainulilli

 

Pelarian Rohingya sedia ada sudah timbulkan pelbagai masalah

BANGI – Jika Malaysia sudah tidak mampu menanggung beban pelarian yang sudah sedia ramai, kerajaan berhak untuk menolak kehadiran pelarian Rohingya baharu.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, tambahan pula dengan musim pandemik COVID-19 dan bebanan ekonomi sekarang, keutamaan kerajaan Malaysia adalah rakyatnya sendiri.

“Tanggungjawab (taklif) dalam Islam berkait dengan kemampuan. Keutamaan negara kita ini adalah untuk mengendalikan masalah sedia ada, bukan tambah masalah baharu.

“Pelarian Rohingya sedia ada di Malaysia juga sudah menimbulkan pelbagai masalah. Antara masalah mereka ialah tiada pendidikan sempurna yang akan menjuruskan kepada masalah sosial dan jenayah untuk jangka panjang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa, perlu difahami bahawa isu Rohingya bukan sekadar isu umat Islam tetapi isu kemanusiaan. 

Justeru, katanya, semua negara ASEAN lain turut ada obligasi kemanusiaan dalam isu membabitkan masalah pelarian Rohingya ini.

Terdahulu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyekat sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara pada 16 April lalu.

Menurut kenyataan pihak TLDM, dengan keadaan penempatan serta kehidupan daif di tempat asal mereka, dibimbangi kumpulan warga asing yang cuba memasuki Malaysia sama ada melalui jalan darat atau jalan laut akan membawa kluster baharu penularan COVID-19 ke negara ini.

Namun, atas dasar kemanusiaan, anak kapal KD Lekiu mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan warga asing itu sebelum mengiringi bot berkenaan keluar dari memasuki perairan negara.

Bagaimanapun, terdapat dua pertubuhan hak asasi manusia – Amnesty International (AI) dan Human Rights Watch (HRW) yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu, mengkritik negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, yang enggan menerima bot yang membawa pelarian Rohingya daripada berlabuh di pesisir pantainya.

Bahkan, Duta Majlis Rohingya Eropah ke Malaysia, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi menggesa Putrajaya mempertimbangkan semula dasar menolak bot sarat dengan pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara.


Tiada ulasan: