Isnin, 6 April 2020

Laporan: Tokoh lantang dalam isu 1MDB diminta tinggalkan MPOB

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilapor meminta Bakke Mohd Salleh, yang dikenali antara beberapa individu yang lantang bersuara mengenai 1MDB sebelum ia menjadi skandal global, meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MPOB.

The Straits Times melaporkan Bakke diminta mengosongkan jawatannya yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada bulan Julai 2018.

Bakke meletak jawatan dari lembaga 1MDB selepas pengurusannya membenarkan AS$ 700 juta dialihkan ke Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikuasai ahli perniagaan, Low Taek Jho pada tahun 2009.

Menurut laporan itu, langkah itu dan beberapa lagi usaha dilakukan kerajaan PN  bertujuan menjaga hati para penyokongnya.

"Mereka perlu memenangi hati penyokong dari pelbagai kumpulan politik yang puak mereka tidak diberikan jawatan menteri," katanya.

Difahamkan kerajaan PN juga melantik Mohammed Azlan Hashim dalam Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad.

Azlan merupakan sebahagian daripada panel pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang mengesyorkan kelulusan RM4 bilion pinjaman kepada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd pada tahun 2011 dan 2012, yang kemudian didakwa disalahgunakan.

Laporan yang memetik sumber itu juga berkata Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Nungsari Ahmad Radhi diberitahu untuk meninggalkan badan pemikir berkenaan yang dibiayai oleh Khazanah.

Ini selepas beliau menulis surat terbuka bersama ahli-ahli ekonomi lain bagi menggesa tindakan tegas kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

Menurut laporan itu, Nungsari dijangka akan digantikan oleh bekas Menteri Kewangan, Nor Mohamed Yakcop.

Kerajaan PN juga telah menamatkan khidmat pengerusi Mara, Hasnita Hashim dan profesional lain.

Hasnita merupakan Pengerusi Maybank Asset Management Group dan ahli lembaga Kumpulan Maybank.

Ahli-ahli majlis Mara yang turut digugurkan ialah Jamelah Jamaluddin, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, Nungsari Ahmad Radhi, Ameer Ali Mydin, Syed Tamim Ansari Syed Mohamed, Zakri Mohd Khir dan Ahmad Baslan Che Kassim.



Tiada ulasan: