Isnin, 6 April 2020

Laporan: Imigresen India tahan 8 rakyat Malaysia di New Delhi

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

KORONAVIRUS | Pihak berkuasa imigresen India hari ini menahan lapan rakyat Malaysia yang disyaki terlibat menyebarkan wabak Covid-19 selepas mereka menghadiri perhimpunan tabligh di New Delhi.

Memetik kenyataan sumber, syarikat penerbitan berita India, NDTV, melaporkan lapan individu terbabit diberkas sejurus sebelum mereka berlepas pulang menaiki penerbangan ihsan ke Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi.

"Lapan warganegara Malaysia yang akan menaiki penerbangan khas ke Malaysia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi hari ini.

"Menurut sumber mereka merupakan sebahagian daripada peserta Pusat Jamaat Tablighi di Nizamuddin yang ditandakan sebagai titik panas untuk penyebaran Koronavirus.

"Walaupun penerbangan antarabangsa tidak beroperasi, ada penerbangan khas dikendalikan beberapa negara membawa rakyat masing-masing yang terkandas dalam negara," kata laporan berkenaan.

Individu terbabit, menuru laporan itu, diserahkan kepada polis dan jabatan kesihatan untuk siasatan.

Bulan lalu kira-kira 8,000 orang - termasuk warga asing - didakwa menghadiri perhimpunan dua hari diadakan oleh Tablighi Jamaat walaupun kerajaan memberi amaran mengenai ancaman Covid-19 serta pentingnya penjarakan sosial.

Pertemuan tersebut dilaporkan sebagai kluster jangkitan terbesar di India setakat ini dan mencetuskan kluster lain di negara tersebut.

Sekurang-kurangnya 20 orang rakyat Malaysia didapati menghadiri pertemuan yang diadakan pada 8 hingga 10 Mac lalu.

Kementerian Dalam Negeri kemudian berikrar untuk mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa saja yang menghadiri pertemuan tersebut, termasuk warga asing yang menyalahgunakan visa pelancong mereka.

Tiada ulasan: