Isnin, 6 April 2020

Kerajaan PN tidak boleh pecat wanita berkebolehan ini, kata Kor Ming

KERAJAAN Perikatan Nasional tidak wajar menamatkan perkhidmatan wanita-wanita berkebolehan yang memimpin beberapa agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Meng berkata, wanita terbabit yang mengetuai beberapa sektor awam hanya boleh dipecat sekiranya terdapat kes yang boleh dibuktikan terhadap mereka.

“Pelantikan kedudukan utama dalam agensi awam hendaklah berasaskan merit dan integriti.

“Kerajaan Perikatan tidak boleh memecat wanita-wanita berkebolehan ini melainkan jika ada kes yang boleh dibuktikan terhadap mereka.

“Negara kita sedang dalam krisis sekarang, sila tunjukkan anda bersunguh-sungguh dan tidak sebaliknya,” kata Ahli Parlimen DAP-Teluk Intan itu menerusi Twiternya.



Beliau turut berkongsi poster memaparkan wanita yang dilantik ketika era pentabiran Pakatan Harapan untuk memimpin beberapa agensi awam dan syarikat berkaitan kerajaan.

Antaranya termasuk Datuk Noripah Kamso yang ditamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Yayasan Bank Rakyat berkuat kuasa hari ini.

Sebelum itu media melaporkan penamatan khidmat Datuk Noor Farida Mohd. Ariffin sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) pada 1 April lalu.

Turut dilaporkan ditamatkan perkhidmatan adalah Datuk Hasnita Hashim sebagai Pengerusi Mara pada 18 Mac lalu.-SM
Bank Rakyat mengumumkan penamatan perkhidmatan Datuk Noripah Kamso sebagai Pengerusi serta semua jawatan lain yang disandang beliau di Bank Rakyat.

Ini termasuk jawatan sebagai Pengerusi Yayasan Bank Rakyat berkuat kuasa pada 4 April 2020.

Bank Rakyat dalam satu kenyataannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Noripah Kamso yang telah berkhidmat bersama Bank Rakyat sejak 11 Disember 2018.

“Kami menghargai jasa dan khidmat yang diberikan Datuk Noripah Kamso terutamanya dalam mengemudi perancangan dan memimpin agenda kelestarian Bank serta mendoakan yang terbaik untuk masa hadapan beliau,” demikian menurut kenyataan itu.

Bank Rakyat juga optimis bahawa meskipun terdapat perubahan dalam kepimpinan Bank, segala operasi dan hala tuju yang telah direncana akan diteruskan seperti biasa bagi meneruskan legasi kecemerlangan Bank Rakyat.

Pengumuman pelantikan Pengerusi Bank Rakyat yang baharu akan dimaklumkan sebaik sahaja segala proses pelantikannya dimuktamadkan. – SM

Tiada ulasan: