Isnin, 6 April 2020

Kerajaan batal kelulusan operasi kilang arak

MALAYSIA GAZETTE 

annuar-musa-heneiken1
Surat kebenaran dan pengesahan KSU KPDNHEP yang membenarkan operasi Heneiken sewaktu PKP sebagai essential makanan yang ditandatanganinya dilampirkan pemilik akaun twitter yang belum dapat dipastikan kesahihannya.
KUALA LUMPUR – Putrajaya akan membatalkan kelulusan kontroversi yang diberikan kepada kilang arak Heineken untuk meneruskan operasi di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Difahamkan keputusan membenarkan kilang itu terus beroperasi “terlalu awal” kerana Ktua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan surat itu tanpa kelulusan Menterinya atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Setakat ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi belum memberi sebarang maklum balas, menurut laporan FMT.
Difahamkan, beliau juga tidak menghadiri mesyuarat Kabinet pagi ini.

Surat bertarikh 31 Mac lalu kepada Heineken yang meluluskan “operasi terhad” itu ditandatangani Ketua Setiausaha KPDNHEP, Hasnol Zam Zam Ahmad, yang berkata kilang bir itu memenuhi kriteria pembekal makanan dan boleh terus beroperasi ketika PKP.

Portal itu juga mendapat tahu sekurang-kurangnya sebuah lagi kilang bir utama diberikan pengecualian sama.

Heineken berkata, 10% daripada jumlah tenaga kerjanya ialah kakitangan penting dan akan terbabit dalam operasi ketika PKP.

“Kami mempunyai kewajipan untuk memastikan bekalan berterusan produk kami, mengekalkan pekerjaan rakyat dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara kita secara positif.”

Difahamkan, pengecualian untuk Heineken juga perlu mendapatkan kelulusan MITI yang diketuai Mohamed Azmin Ali, seorang daripada empat menteri kanan Kabinet.

“Secara teknikal, Heineken di bawah kategori makanan dan minuman, tetapi disebabkan ia bukan sebahagian daripada perkhidmatan asas yang dikecualikan langkah pembendungan semasa, ia memerlukan kelulusan daripada Miti,” kata sumber.

Langkah mengecualikan Heineken itu dikritik Pas, salah satu sekutu kerajaan Perikatan Nasional.

“Pas menghormati hak bukan Islam untuk minum minuman keras sepertimana dasar yang dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu, tetapi ia bukanlah keperluan semasa dalam menghadapi situasi kritikal Covid-19,” kata PAS.

Semalam, seorang pemimpin Pemuda PPBM mempersoalkan langkah itu dengan berkata, ribuan perniagaan halal serta perusahaan kecil dan sederhana diminta menghentikan operasi sementara ketika PKP.

“Mengapa pengecualian diberikan kepada kilang arak Heineken, sedangkan terang-terangan perniagaan mereka haram,” soal exco agama Pemuda PPBM, Abu Hafiz Salleh Hudin.

Di bawah PKP yang diumumkan bulan lalu, semua pejabat dan perniagaan akan ditutup dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Tetapi, pengecualian diberikan kepada perkhidmatan asas, termasuk bekalan air dan elektrik, telekomunikasi, pengangkutan, perbankan dan bekalan makanan.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: