Ahad, 26 April 2020

'Kami mohon maaf kepada kerajaan, rakyat Malaysia'

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
 
Sebahagian pelarian Rohingya di Malaysia menerima bantuan makanan.
Sebahagian pelarian Rohingya di Malaysia menerima bantuan makanan.
 
KUALA LUMPUR: Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelarian Rohingya memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia di atas kenyataan tidak bertanggungjawab seorang individu daripada etnik terbabit.

Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani 17 NGO terbabit menjelaskan, kenyataan dikeluarkan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani itu menimbulkan salah faham dan menyebabkan wujudnya sentimen negatif terhadap pelarian Rohingya di Malaysia.

"Kami pelarian Rohingya tidak pernah melantik Zafar Ahmad sebagai presiden kami, beliau bukan pemimpin kami dan sebenarnya kami tiada pemimpin di Malaysia. Beliau tiada hak untuk mengeluarkan kenyataan mewakili kami.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan beliau namun kami tidak mempunyai kuasa untuk menghalang beliau daripada berbuat demikian," menurut kenyataan itu.

Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani.
Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya 
Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani.
Kenyataan itu turut menjelaskan pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas terhadap Zafar Ahmad berdasarkan undang-undang negara ini.

Katanya, pelarian Rohingya di Malaysia bimbang dengan kenyataan dikeluarkan Zafar Ahmad hanya akan menimbulkan sentimen negatif terhadap etnik berkenaan.

"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan semua rakyatnya kerana membenarkan kami tinggal di negara ini buat sementara waktu sebelum dapat pulang ke negara asal atau ditempatkan di negara ketiga yang lain," katanya.

Zafar Ahmad sebelum ini didakwa mengeluarkan kenyataan menghina rakyat Malaysia, menuntut hak kerakyatan penuh dan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa menghalang kapal membawa pelarian etnik itu daripada mendarat di negara ini.

Bagaimanapun, beliau menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu dan menyifatkannya sebagai tuduhan palsu selain menafikan beliau melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malaysia kini sedang melaksanakan PKP sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan COVID-19.

Tiada ulasan: