Sabtu, 4 April 2020

Ibu bapa remaja engkar PKP juga boleh dikenakan tindakan

IBU bapa dan penjaga kepada remaja di bawah umur 18 tahun yang ditangkap kerana engkar Perintah Kawalan Pergerakan juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ibu bapa dan penjaga terbabit ternyata mengabaikan anak-anak mereka sehingga mendedahkan remaja terbabit terhadap bahaya jangkitan COVID-19.

Ibu bapa dan penjaga terbabit boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak.
“Remaja-remaja yang berumur 18 tahun ke bawah yang engkar PKP bila dikenakan tindakan, penjaga atau ibu-bapa juga boleh diambil tindakan.

“Kerana abai menjaga anak-anak mereka dan mendedahkan mereka kepada bahaya iaitu jangkitan COVID-19 dibawah Akta Kanak-Kanak,” ciap Musa di Twitternya.

Ketika ini mereka yang ditahan kerana engkar arahan PKP boleh didakwa di bawah Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Peraturan 7, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap tertuduh.-SM

Tiada ulasan: