Isnin, 6 April 2020

APMM tahan bot bawa 202 pendatang Rohingya

 
Malaysiakini
 
 
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis menahan sebuah bot yang membawa 202 pendatang asing tanpa izin etnik Rohingya berhampiran pantai sebuah pusat peranginan di Jalan Pantai Kok, Teluk Nibong, di Langkawi, hari ini..

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata bot tersebut yang dipercayai hanyut, ditahan di posisi 1.2 batu nautika barat daya, kira-kira jam 8.45 pagi.

“Bot tersebut didapati membawa 202 orang terdiri daripada 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Semua yang ditahan dibawa ke bilik tahanan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Bukit Malut tengah hari tadi dan akan diserah kepada Jabatan Imigresen Malaysia kerana didapati memasuki negara ini secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan di Langkawi.

Menurut Zulinda, APMM sedang menyiasat aduan daripada migran mengenai penglibatan empat individu dipercayai seorang tekong dan tiga awak-awak, disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan yang melarikan diri semasa di laut.

“Maritim Malaysia Kedah dan Perlis berharap komuniti maritim dapat menyalurkan aduan sekiranya terdapat salah laku di laut,” katanya.

Dalam pada itu, Zulinda menegaskan semua anggota yang terlibat mengendalikan kes berkenaan, telah mengambil langkah ketat untuk mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pendatang asing terbabit.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 dan 04-966 5307.- Bernama

Tiada ulasan: