Isnin, 6 April 2020

4 korban baru Covid-19, jumlah pulih lepasi 1,000 orang

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan
sebanyak 179 kes jangkitan baru Covid-19 dilaporkan hari ini 
berbanding 150 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa 
3,662 orang.
 
PUTRAJAYA: Kes kematian Covid-19 bertambah sebanyak 4 orang hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang meninggal dunia akibat wabak koronavirus itu 61 orang sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan sebanyak 179 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini berbanding 150 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa 3,662 orang.

Dalam pada itu, seramai 90 mangsa jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini, menjadikan bilangan pesakit yang sembuh 1,005 orang setakat ini

Seramai 99 pesakit Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi.

“Daripada jumlah tersebut, 48 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Kes kematian ke-58 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 sebelum ini.

Beliau dirawat di Hospital Besar Sarawak pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020 jam 1.37 tengah hari.

Kes kematian ke-59 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020 jam 3.40 petang.

Kes kematian ke-60 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun dan dirawat di Hospital Besar Sarawak pada 31 Mac 2020.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 5 April 2020 jam 12.39 pagi.

Sementara itu kes kematian ke-61 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Beliau dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020 jam 9.36 malam.

Tiada ulasan: