Khamis, 26 Mac 2020

WHO puas hati langkah Malaysia tangani Covid-19, kata Noor Hisham

Noor Hisham Abdullah berkata KKM memaklumkan terdapat 
kumpulan sasaran dalam mencegah Covid-19.
 
PETALING JAYA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpuas hati dengan langkah diambil Malaysia dalam mendepani penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia dimaklumkan menerusi mesyuarat badan itu bersama pihak Kementetian Kesihatan Malaysia (KKM) tengah hari tadi.

Ia termasuk langkah Malaysia melakukan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kita ada mesyuarat dengan WHO dan mereka telah datang dan lihat cara dan kesiapsiagaan kita. Mereka puas hati dengan apa yang kita ada.

“Kita gunakan banyak kaedah, pertama adalah PKP, kedua aktiviti mencari pesakit positif, buat ujian dan asingkan serta kita rawat,” katanya kepada pemberita selepas sidang media di KKM hari ini.

Noor Hisham berkata pihaknya turut memaklumkan terdapat kumpulan sasaran dalam mencegah Covid-19.

“Kita ada kumpulan sasaran kita iaitu kumpulan tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling, pendatang tanpa izin, Rohingya, dan sebagainya yang hadir dalam majlis tersebut,” katanya.
Katanya, lebih 50% kes positif adalah daripada kluster tabligh.

“Jadi kita tahu lebih 50% daripada kes yang positif ini ialah daripada kluster tabligh jadi mereka adalah golongan sasaran kita,” katanya sambil memaklumkan kawasan awam yang terdedah kepada penularan wabak akan dibersihkan dalam masa terdekat.

Sehingga 12 tengahari tadi sebanyak 2,032 kes positif Covid-19 dan angka kematian setakat ini 23 orang.

Tiada ulasan: