Isnin, 30 Mac 2020

Sarawak nilai semula bantuan kerana PKP dilanjutkan

 
Malaysiakini
 
 
Kerajaan Sarawak akan menilai semula pakej bantuan yang diumumkan sebelum ini susulan pelanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin Rabu lepas.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata pelanjutan PKP sehingga 14 April ini akan memberikan impak kepada beberapa sektor ekonomi yang diumumkan menerima manfaat dari Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang yang diumumkan beliau minggu lepas.

"Saya akan menilai semula sektor-sektor yang harus kita bantu sebab penjaja kecil tidak akan dapat berniaga dua minggu lagi. Banyak sektor lain umpamanya pengeluaran (yang perlu diberi perhatian) supaya tidak menjejaskan mereka yang bekerja," katanya dalam program Bicara Naratif di TV1 malam tadi.

Pada 23 Mac lepas, Abang Johari mengumumkan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM1.15 bilion untuk melaksanakan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang yang antara lainnya memfokuskan bantuan kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40), petugas barisan hadapan semasa PKP dan menangani jangkitan Covid-19, serta usahawan kecil dan sederhana di negeri ini.

"(Pakej bantuan khas Sarawakku Sayang) yang saya umumkan adalah (pendekatan bantuan) jangka pendek. (Pendekatan) jangka panjangnya, memang kerajaan (negeri) telah mempunyai projek yang besar yang sudah tentu dapat memberikan pertumbuhan ekonomi yang baik," katanya.

Abang Johari berkata selain itu, kerajaan negeri juga akan mempercepatkan lagi pengagihan bantuan yang telah diumumkan menggunakan agensi kerajaan yang sedia ada seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, di samping menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diterajui Setiausaha Kerajaan Negeri, Jaul Samion.

Selain itu, katanya, kaedah pembayaran secara digital dan konvensional juga akan diambil kira bagi memudahkan penyaluran bantuan ini kepada golongan sasaran terbabit.

"Kita juga melantik wakil rakyat kita dan mereka boleh menjadi saluran untuk membekalkan makanan di kawasan-kawasan luar bandar," katanya.

Abang Johari berkata keputusan kerajaan negeri untuk mengumumkan pakej bantuan itu lebih awal sebelum pengumuman pakej rangsangan ekonomi kerajaan persekutuan bukannya untuk membelakangkan kerajaan pusat tetapi berteraskan keutamaan untuk membantu rakyat secepat mungkin dalam keadaan yang dihadapi sekarang.

"Kita terpaksa menjaga (diri) kita sendiri dahulu menyebabkan saya mengumumkan bantuan (ini lebih) awal. Rezeki kita ada dan kita agihkan rezeki ini untuk rakyat," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: