Sabtu, 28 Mac 2020

Putrajaya akan laksana PKP diperketatkan, kata menteri

Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan PKPD bukannya perintah 
berkurung.

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selepas mengkaji tindakan dan kesannya kepada rakyat.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan PKPD bukannya perintah berkurung.

“Mungkin selepas ini ada jangka masa pukul berapa, dari sekian ke sekian kedai dibuka dan tutup,” katanya.

Khamis lalu, 2 kawasan di Simpang Renggam, Kluang, Johor menjadi kawasan pertama penguatkuasaan PKPD susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19.
Seramai 3,500 penduduk di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid diminta berada di rumah setiap masa dan semua aktiviti perniagaan ditutup sehingga 9 Apr ini.

Mereka diberikan bekalan makanan dan ujian dijalankan ke atas semua penduduk.

Hari ini, Ismail menasihatkan rakyat tidak bimbang atau membuat pembelian panik kerana kedai runcit dan pasar raya masih dibuka.

Beliau juga mengingatkan orang ramai berhati-hati bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan penipuan atas talian atau melalui panggilan telefon membabitkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) serta jualan topeng.

“Jadi, tolonglah berhati-hati, jangan layan jika dari sumber yang diragui.”

Katanya, sehingga 25 Mac lalu, polis membuka 393 kertas siasatan berhubung penipuan dalam jualan topeng membabitkan kerugian sebanyak RM3 juta sehingga 25 Mac lalu.

Tiada ulasan: