Rabu, 25 Mac 2020

PH gelabah takut dilupakan, teori khianat pintu belakang hilang momentum

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Cari talian hayat politik, percubaan untuk kekal dipandang sepi


BANGI– Krisis wabak COVID-19 yang berlanjutan lebih daripada tiga minggu memberi kesan kepada tingkah laku politik di Malaysia terutamanya kepada Pakatan Harapan (PH), sekali gus memberi kelebihan kepada kerajaan baharu.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mendakwa, perkara itu menyebabkan puak PH sedaya upaya ‘berjuang’ menarik perhatian rakyat kerana bimbang teori khianat pintu belakang mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang momentum.

Pemimpin gerakan Islam itu berkata, PH juga khuatir mereka tidak lagi relevan di mata rakyat.
“PH mahu mencari talian hayat politik mereka. Namun malangnya percubaan mereka untuk kekal dipandang sepi.

“Isu khianat terus hidup menjadikan mereka kelihatan bebal, terdesak, meroyan dan hilang kawalan diri,” katanya kepada Ismaweb hari ini.

Antara isu yang dimainkan PH termasuk mengkritik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di atas pendapat beliau mengenai ‘minum air suam yang banyak untuk bunuh virus COVID-19’.

Terdahulu, Dr Adham dalam wawancara di saluran televisyen RTM TV1 menasihatkan minum air suam sebagai petua bagi menghalang jangkitan COVID-19.

“Virus ini tak suka panas. Jangan (air) panas sangatlah. Virus ini akan dinyahkan, disingkir, dan di perut. Kalau masuk perut ada asid, dia kalah.

“Yang penting kita mesti singkirkan virus ini dari kerongkong sebelum dia boleh masuk ke paru-paru. Virus ini dia suka paru-paru bawah,” katanya.

Selain itu, PH juga turut membidas langkah kerajaan membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari akaun dua bagi menampung keperluan keluarga berikutan wabak COVID-19.

Menyifatkan langkah itu sebagai tidak bertanggungjawab, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu perkara itu dikaji semula kerana dibimbangi menjejaskan nilai simpanan tabungan hari tua rakyat negara ini.


Tiada ulasan: