Sabtu, 28 Mac 2020

MIC taja 12 penerbangan bawa pulang 1,988 rakyat Malaysia dari India

Kamarudin Jaffar berkata, 916 rakyat Malaysia kini terkandas 
di Chennai, 523 orang di Trichy, 328 orang di New Delhi, 173 
orang di Amritsar dan 48 orang di Mumbai.
 
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar berkata, MIC bersetuju membiayai 12 penerbangan untuk membawa pulang 1,988 warganegara Malaysia yang terkandas di India dalam masa terdekat.

“Proses repatriasi tersebut dijangka dilaksanakan secara berperingkat dalam masa terdekat, selepas dimuktamadkan semua urusan berkaitan tempahan dan kelulusan untuk mendarat.

“Saya berharap agar rakyat Malaysia sentiasa tenang, patuh kepada arahan kerajaan tempatan dan berhubung dengan perwakilan Malaysia di sana,” katanya pada sidang media di Kementerian Luar hari ini.

Beliau berkata, kerajaan mengucapkan terima kasih kepada MIC dan berharap kerjasama erat sedemikian dapat diteruskan untuk memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara dibawa pulang ke tanah air.

Katanya, jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara kini meningkat kepada 3,616 orang di 58 negara, dengan India paling ramai, iaitu 1,988 orang.

“Sejumlah 916 orang di Chennai, 523 orang di Trichy, 328 orang di New Delhi, 173 orang di Amritsar dan 48 orang di Mumbai.”

Kamarudin berkata, 86 rakyat Malaysia akan menaiki pesawat sewaan khas kerajaan Brunei dari Kaherah, Mesir dan tiba di negara itu esok.

“Kesemua mereka akan dibawa pulang pada hari sama dengan menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.25 pagi esok.”

Pada masa sama, katanya, Putrajaya akan menerbangkan 142 warganegara Brunei yang terkandas di Malaysia dengan pesawat khas sama.

“Sekali lagi kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Brunei di atas keprihatinan dan kesudian untuk membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di Kaherah.”

Bagi 18 rakyat Malaysia yang terkandas di Maldives, katanya, syarikat penerbangan Weststar Aviation bersetuju membiayai sepenuhnya kos penerbangan membawa pulang kumpulan itu.

Kamarudin berkata, rakyat Malaysia terkandas di negara lain antaranya atas tujuan kerja, urusan keluarga dan bercuti.

Katanya, mereka mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, tetapi penerbangan itu dibatalkan susulan penularan Covid-19 dan tiada alternatif untuk mereka pulang ke tanah air.

Tiada ulasan: