Khamis, 26 Mac 2020

K'jaan dijangka jumpa Adun pembangkang S'gor, bincang peruntukan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini


Semua 13 Adun pembangkang dan bebas di Selangor dijangka bertemu menteri kanan Mohamed Azmin Ali di Putrajaya petang ini  bagi membincangkan isu peruntukan untuk menangani wabak Covid-19.

Satu sumber memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan Perikatan Nasional dijangka memperuntukkan dana tambahan untuk Adun pembangkang Selangor sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan yang dijadual diumumkan esok.

Ini berikutan pengumuman oleh kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Harapan (PH) pada Isnin bahawa peruntukan khas RM30,000 yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi negeri ini minggu lalu tidak akan diberikan terus kepada Adun pembangkang.

Sebaliknya, peruntukan untuk kawasan pembangkang diuruskan oleh "penyelaras kawasan" yang dilantik oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri menegaskan bahawa ia bukan amalan baru.

"Saya boleh sahkan kami esok ada jumpa bersama Datuk Seri Azmin Ali, di MOF, kami belum diberitahu secara detail apa tujuan pertemuan ni dan apakan yang akan diberitau kami," kata Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail ketika dihubungi.

Beliau berkata mesyuarat itu adalah berkaitan Covid tetapi tidak pasti apa yang akan dibincangkan kemudian.

Rizam yang juga Adun Sungai Air Tawar, bagaimanapun berkata beliau akan membawa isu yang berkaitan dengan peruntukan Covid-19 semasa mesyuarat berkenaan.

Beliau berharap kerajaan persekutuan akan memberikan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang di Selangor dan diumumkan dalam pakej rangsangan kedua.

"Jumlah tak nak sebut, biar mereka buat penilaian di MOF, kami hanya inginkan peruntukan yang secukupnya bagi kami di sini, saya yakin mereka dah buat pengiraan pada pihak MOF, Azmin Ali," katanya.
 
Rizam berkata beliau telah membelanjakan wang sendiri untuk membeli barangan keperluan kepada penduduk yang memerlukan di luar bandar.

Pakej rangsangan pertama bernilai RM20 bilion diumumkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 27 Feb untuk membantu industri yang berkaitan dengan pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Ramai melihat pakej rangsangan kedua adalah untuk rakyat Malaysia secara umumnya yang terus terjejas oleh perintah kawalan pergerakan, dalam usaha memerangi wabak Covod-19.

Tiada ulasan: