Sabtu, 28 Mac 2020

Diva AA dakwa dapat layanan anak emas dari polis

 
Malaysiakini
 
 
Pengacara kontroversi, Azwan Ali hari ini memuji layanan yang diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepadanya dan menyifatkannya sebagai layanan VVIP.

Kata Azwan atau lebih mesra disapa Diva AA itu, anggota polis yang menguruskan kesnya menjaga dia seperti anak emas atau menatang minyak yang penuh.

"Diva AA salute bagaimana polis layan hari ni.

"Justeru, nak ucap setinggi-tinggi penghargaan kerana menjaga Diva AA seperti anak emas dan umpama menatang minyak yang penuh," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Azwan juga berkata, layanan diberikan PDRM kepadanya itu juga mungkin tidak sama jika hendak dibandingkan dengan mana-mana ahli politik yang pernah 'diheret' ke mahkamah sebelum ini.

"Bekas perdana menteri Najib Razak pun belum tentu dapat layanan macam VVIP tu," katanya.

Terdahulu, Azwan didenda sebanyak RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas kesalahan menghina cara kerja kakitangan Hospital Putrajaya dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Ia bermula selepas seorang penyanyi berpangkat senior mendakwa tidak menerima layanan baik daripada petugas hospital terbabit melalui perkongsian di Facebook miliknya pada 19 Mac lalu.
Diva AA kemudian menyokong tindakan artis terbabit dalam perkongsian video berasingan yang dimuat naik di laman Youtube miliknya, Diva AA Tersohor.

Hantaran itu kemudiannya dilaporkan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, jam 4.59 petang, pada 25 Mac 2020.

Diva AA bayar denda tunai

Azwan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya di mahkamah.

Dia juga memohon maaf sekali lagi secara terbuka kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan mulut celuparnya.

Sementara itu, mengulas jumlah denda sebanyak RM17,000 yang dikenakan, Azwan berkata, dia sedikit pun tiada masalah untuk membayarnya.

Baginya, apalah sangat jika hendak dibandingkan antara wang dengan prinsipnya dalam memperjuangkan hak seorang rakan yang sudah dikenali sekian lama.

"Diva AA tak pandang pun, siap bayar tunai. Bagi saya, jumlah tu tak penting, yang penting apa diperjuangkan.

"Mereka (mahkamah) boleh kenakan seberapa banyak denda yang dikehendaki," katanya.

Tiada ulasan: