Isnin, 30 Mac 2020

COVID-19: Dr. Noor Hisham rayu lebih ramai sertai sukarelawan bantu KKM

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia untuk tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19.

Rayuan itu dibuat berikutan situasi semasa yang memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk membantu petugas kesihatan mengekang wabak COVID-19 daripada terus merebak.

Menurut Dr. Noor Hisham, sehingga hari ini seramai 157 sukarelawan telah menyertai  pasukan sukarelawan dan mereka  ditempatkan secara berperingkat dan bertugas untuk membantu pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19.

Dr. Noor Hisham berkata, sejumlah 1,008 orang lagi bakal menyertai pasukan perubatan di hospital, iaitu mereka  yang terdiri daripada pelbagai profession perubatan.

“KKM ingin memaklumkan bahawa pihak KKM mengalu-alukan perkhidmatan sukarelawan kesihatan dan perubatan dalam menangani penularan kejadian COVID-19 di Malaysia.

“Mengambil kira situasi semasa, KKM menyeru lebih ramai sukarelawan dapat tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19 dengan mengisi Borang Pendaftaran Anggota Sukarelawan Pasukan Bantuan Kesihatan Dan Perubatan COVID-19,” kata Dr. Noor Hisham.

Borang boleh didapati di Facebook dan laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia.-SM

Tiada ulasan: