Selasa, 25 Februari 2020

Umno Johor yakin akan ada kerajaan negeri baru

ZIKRI KAMARULZAMAN



Umno Johor yakin akan ada kerajaan negeri yang baru susulan pembelotan oleh pemimpin dan wakil rakyat PKR.

Dengan keputusan Bersatu yang bertindak keluar dari Pakatan Harapan, jumlah kerusi dewan undangan negeri kini tergantung dengan kedua-dua pihak, masing-masing mempunyai 28 kerusi.

Umno mempunyai 14 kerusi DUN, MIC - 2, dan PAS - 1. Manakala Bersatu pula mempunyai 11 kerusi.

Bercakap kepada Malaysiakini, ketua Umno Johor, Hasni Mohammad bagaimanapun yakin bahawa mereka mampu mendapatkan bilangan kerusi yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan negeri baru.
Iklan
“Kita sepatutnya mendapat satu (kerusi) dari PKR ... ini dijanjikan kepada kita oleh bos mereka di KL Mungkin (juga) akan ada lebih dari satu," katanya.

Bagaimanapun, beliau secara berseloroh mengatakan bahawa DAP dan PH juga akan mendakwa mereka juga mempunyai bilangan yang mencukupi.

Ditanya sama ada beliau akan mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak lama lagi, Hasni berkata beliau akan tunggu untuk melihat perkembangan di Putrajaya terlebih dahulu.

Sumber PKR Johor yang memberitahu Malaysiakini pula menuding jari terhadap Adun Sidang Pemanis Dr Chong Fat Full apabila ditanya siapa yang akan membelot.

Chong sebaliknya memberitahu Malaysiakini bahawa PKR negeri yang memulaukan dirinya.

"Saya orang PKR, masih dengan PKR. Saya cuma ideologi tak sama dengan mereka.

“Semua orang dalam PKR, mereka singkir saya, hentam saya. Saya tak musuh dengan orang, kita boleh sokong siapa-siapa,” katanya.

Ditanya sama ada beliau masih bersama kerajaan negeri PH, Chong menjawab disebabkan serangan itu, beliau kini "berkecuali".

Di sebalik keyakinan BN bahawa mereka mampu membentuk kerajaan negeri yang baru, namun belum tentu mereka boleh berjaya.
Bekas Menteri Besar Johor Osman Sapian apabila dihubungi pula berkata bahawa Bersatu belum membincangkan pembentukan kerajaan negeri dengan Umno.

“Kita cuma dah keluar dari PH. Sama ada nak bersama dengan Umno tubuh kerajaan negeri, itu belum bincang lagi.

Semalam, Bersatu keluar dari PH berikutan percubaan rampasan kuasa yang mengakibatkan Putrajaya kini ditadbir berseorangan oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara.


Tiada ulasan: