Khamis, 20 Februari 2020

Tak perlulah DAP, MCA campur tangan hal kerajaan Terengganu

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

2 parti jelas bersepakat ganggu nilai Islam dibawa kerajaan negeri


BANGI – Tidak perlulah DAP dan MCA sibuk campur tangan dalam urusan kerajaan negeri Terengganu, apatah lagi dua parti berkenaan sering terpalit dengan kepincangan ketidakpuasan hati rakyat.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Muhammad Rusdi Alias berkata, biarkan sahaja kerajaan Terengganu mentadbir dan mengurus negeri mengikut cara sendiri, yang sudah pasti perlu diselarikan mengikut apa yang diperintah dalam Islam.

Membidas tindakan DAP dan MCA mengutuk hasrat Terengganu memelihara kehormatan wanita, beliau berkata, dua parti rasis berkenaan sepatutnya melihat dahulu kesan baik daripada langkah kerajaan negeri melarang wanita menyanyi serta menari di khalayak ramai.

“Lihat dahulu apa kesan buruk dari segi sosial, hubungan antara kaum dan ekonomi daripada larangan ini. Kemudian baru mereka boleh komen.

“Penting juga untuk kita tahu apakah motif DAP dan MCA bersama-sama serta berpakat mengutuk keputusan tersebut. Apakah di sana ada kepentingan bersama antara DAP dan MCA dalam perkara ini?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, DAP dan MCA mengutuk hasrat Terengganu yang mahu mewartakan garis panduan penganjuran program hiburan kebudayaan dan pelancongan dalam masa terdekat.

Pengarah Biro Hal Ehwal Pembangunan DAP Kelantan dan Terengganu, Lee Chin Chen menyifatkan peraturan hiburan dan pertunjukan kebudayaan yang diusulkan oleh kerajaan negeri itu sebagai melanggar hak asasi kebebasan rakyat serta menyebabkan Terengganu selangkah menjadi negeri mundur.

“Seperti peraturan tidak masuk akal hanya membenarkan lelaki membuat pertunjukkan di atas pentas terbuka, sebaliknya pertunjukkan oleh wanita hanya boleh dibuat di tempat tertutup dan ditonton oleh penonton wanita sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie dalam reaksi terhadap isu sama turut menyifatkan hasrat Terengganu itu sebagai mundur, mendiskriminasi jantina, ekstrem dan tidak menguntungkan ekonomi.

Tidak hanya bersatu hati dalam hal membabitkan kepentingan kaum Cina, Muhammad Rusdi berkata, sikap ditonjolkan dua parti berkenaan berhubung isu itu juga menjelaskan kesepakatan DAP dan MCA untuk menganggu pelaksanaan nilai-nilai Islam yang dibawa oleh kerajaan Terengganu.

“Sebagai umat Islam, kita mesti mampu membaca dan memahami agenda tersirat kumpulan yang tidak senang dengan perlaksanaan Islam seperti ini. Janganlah kita jadi naif dengan melihat perkara selapis sahaja.

“Kerajaan Terengganu juga diminta tidak tunduk dengan desakan DAP dan MCA ini. Kepimpinan adalah amanah Allah untuk memimpin rakyat melaksanakan perintahNya. Selagi mana kerajaan negeri berpegang kepada perintah Allah, maka pasti Allah akan peliharan dan menurunkan barakah kepada kerajaan serta rakyatnya,” katanya.


Tiada ulasan: