Isnin, 24 Februari 2020

Selamatkan Malaysia, tamatkan pemerintahan rasis, ekstremis, radikal

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Tak timbul isu kerajaan pintu depan atau belakang, asal ikut Perlembagaan


BANGI – Desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula landskap politik negara dilihat sebagai satu perkembangan positif, dengan harapan perubahan yang bakal berlaku dapat mengembalikan kestabilan dan menyelamatkan Malaysia daripada pemerintahan rasis, ekstremis serta radikal.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, sekiranya desas-desus itu berlaku, beliau menegaskan tidak timbul isu penubuhan kerajaan pintu depan atau belakang, selagi mana ia mengikut lunas Perlembagaan dan menepati kehendak syarak.

Beliau menegaskan, keadaan huru-hara politik, kelemahan ekonomi, bebanan kos sara hidup dan perpecahan rakyat berbilang kaum sejak pemerintahan baharu dua tahun lalu, wajib ditamatkan segera.

“Namun, jika ini (benar berlaku) tidak bermakna tanggungjawab telah selesai. Ia diharap dapat menyediakan suasana yang lebih baik kepada dakwah Islamiyah dan pemangkin agama Islam serta ketuanan Melayu di negara ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas senario terkini politik negara apabila rakyat dikejutkan dengan desas-desus kemungkinan pengaturan semula landskap politik Malaysia.

Semalam, beberapa pemimpin utama pelbagai parti politik kerajaan dan pembangkang hadir dalam satu mesyuarat khas dan tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya, mencetuskan tanda tanya mengenai tujuannya diadakan.

Sebelum itu, beberapa mesyuarat berasingan melibatkan beberapa parti politik di tengah-tengah desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula landskap politik negara.

Pemimpin parti mengunci mulut mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tertutup, di ibu negara dan Petaling Jaya yang menarik perhatian media.

Terdahulu semalam, UMNO mengadakan mesyuarat majlis tertinggi khas selama dua jam dari 4 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya, dipengerusikan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad yang enggan mengulas semasa perdana menteri berusia 94 tahun itu diserbu semasa beliau meninggalkan premis itu.

Beberapa Ahli Parlimen dari parti politik di Sabah dan Sarawak juga mengadakan mesyuarat di ibu negara.

Suasana di Istana Negara juga sibuk dengan banyak kenderaan dilihat memasuki istana sejak 5.30 petang, sesetengahnya diiringi polis pengiring. Kenderaan berkenaan dilihat meninggalkan istana dua jam kemudian.


Tiada ulasan: