Sabtu, 22 Februari 2020

‘Rule of law’ Malaysia baharu bunuh kepercayaan rakyat

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Orang kafir tetap bantu selamatkan puak sendiri walaupun salah


BANGI – Tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menggugurkan pertuduhan 12 individu yang disyaki menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) telah membunuh kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan negara.

Kesal dengan ‘rule of law’ Malaysia baharu, Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, individu yang dituduh bersalah dilepaskan sewenang-wenangnya oleh peguam negara, sedangkan mereka yang tidak bersalah berkemungkinan boleh dijatuhi hukuman mengikut kehendak pemerintah.

Beliau menegaskan, Malaysia baharu yang diperintah kerajaan hari ini ternyata sudah tiada lagi ‘rule of law’, sebaliknya hanyalah sikap orang kafir yang saling menyokong dan membantu sesama sendiri.

“Ini membenarkan firman Allah bahawa orang kafir saling bantu-membantu sesama mereka. Walaupun puak mereka buat salah, tetapi mereka tetap akan selamatkan puak mereka.

“Tommy Thomas juga sudah banyak kali campur tangan untuk menyelamatkan individu yang melakukan jenayah daripada dibawa ke muka pengadilan seperti kes Muhammad Adib yang sehingga kini tiada pembelaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Bahkan katanya, keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Mengkritik keputusan peguam negara itu, Abdullah Zaik berkata, sistem keadilan negara sudah tiada lagi nilai integriti selepas satu lagi kes digugurkan daripada pendakwaan.

“Tindakan undang-undang yang melindungi negara daripada kegiatan pengganas dan radikalisme juga sudah tidak boleh diharap serta tidak boleh dipercayai lagi.

“Bahkan, polis juga sudah tidak berguna dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sudah tidak relevan lagi,” katanya.


Tiada ulasan: