Selasa, 25 Februari 2020

PH Tumbang Atas Kezaliman Mereka Sendiri… Allah Sebaik-baik Perancang – Zahida

KUALA LUMPUR– Rakyat mendoakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya satu penggal di Putrajaya tetapi rupa-rupanya hanya separuh penggal, di mana perancangan Allah itu yang terbaik, ujar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan.

Hakikat sebenar kata Zahida, tumbangnya mereka adalah kerana doa rakyat dan doa orang-orang teraniaya akibat dari kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan PH sepanjang 21 bulan memerintah.

“Allah yang beri PH berkuasa dan Allah jua yang tarik semula kuasa dari mereka.

“Semalam 24 Februari 2020 terkuburlah kerajaan PH secara rasmi selepas peletakan Jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

“Ada pihak yang menyalahkan UMNO dan Muafakat Nasional sebagai punca kejatuhan kerajaan hari ini adalah hanya untuk menutup kegagalan dan kerakusan mereka sendiri,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Ulas lanjut Zahida berkata punca lain adalah masalah dalaman PH itu sendiri apabila berlaku perebutan kuasa kerusi perdana menteri antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir.

“Ia dikuatkan lagi dengan tekanan demi tekanan dari Dap, PKR dan Pan kumpulan pro Anwar Ibrahim yang mahu perdana menteri ketujuh menyatakan tarikh sebenar peralihan kuasa perdana menteri.

“Kemuncaknya terkuburlah kerajaan PH dan secara automatik terbubarlah Kabinet Malaysia, hilanglah kuasa menteri-menteri PH yang sebelum ini sangat sombong dan bongkak,” bidasnya lagi.

Sehubungan itu Zahida menyeru semua pihak bertenang dan mendoakan yang terbaik buat negara tercinta ini. – UMNO ONLINE

Tiada ulasan: