Isnin, 24 Februari 2020

Petisyen desak AG letak jawatan cecah 39,900 tandatangan

tyrazalhe

 

Tommy cabul sistem perundangan kerana tunduk kepada agenda politik


BANGI – Hampir 40,000 orang telah menurunkan tandatangan menyokong petisyen dalam talian bagi mendesak Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan.

Setakat jam 11 pagi, petisyen yang dilancarkan semula oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya, berjaya mengumpulkan 39,905 tandatangan.

Dalam petisyen itu, Haji Aminuddin menegaskan, desakan peletakan jawatan itu dibuat susulan pelbagai onar dilakukan yang telah mencabul sistem perundangan negara melalui pelbagai siri peristiwa, yang disifatkan tunduk kepada agenda politik pihak tertentu.

“Sebenarnya, banyak isu-isu dan kontroversi-kontroversi yang melibatkan Tommy Thomas sepanjang menjadi peguam negara, termasuk pengguguran prosiding kes rasuah banglo Lim Guan Eng, isu pengiktirafan UEC dalam sijil perundangan dan sebagainya.

“Walau bagaimanapun, setakat ini ada dua ‘onar’ terbesar yang telah dilakukan oleh Tommy Thomas yang saya kira telah merobek-robek sistem perundangan negara,” katanya dalam petisyen itu.

Menurut Haji Aminuddin, ia antaranya membabitkan sikap lengah serta campur tangan peguam negara dalam kes pembunuhan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, serta pengguguran prosiding kes suspek pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) secara serta-merta.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Bahkan katanya, keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa peguam negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bidang kuasa menteri dalam negeri.

Beliau berkata, KDN mempunyai asas yang kukuh mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas berdasarkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa.

Kenyataan tersebut susulan gesaan Tommy upaya Muhyiddin selaku menteri dalam negeri mengkaji semula kedudukan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Untuk rekod, selain Malaysia, beberapa buah negara lain turut mengisytiharkan dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara masing-masing, antaranya, India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Orang ramai yang mahu memberikan sokongan terhadap petisyen tersebut boleh menandatanganinya di pautan www.change.org.


Tiada ulasan: