Sabtu, 22 Februari 2020

Peralihan kuasa: Hormati keputusan Majlis Presiden, kata Anwar

HASPAIZI ZAIN



Presiden PKR Anwar Ibrahim mengarahkan partinya agar menghormati keputusan berhubung peralihan kuasa yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden PH semalam.

Anwar juga menggesa penyokongnya dan sekutu PH lain agar menghormati keputusan itu, yang antara lain menyerahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menetapkan tarikh peralihan tersebut selepas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di ibu negara Nov depan.

"(Apa) yang kita capai semalam adalah konsensus, termasuk (melibatkan) PKR, oleh demikian PKR harus hormat keputusan tersebut, begitu juga rakan-rakan lain.

"Tapi saya boleh arah parti saja, yang lain saya boleh gesa agar mereka hormati keputusan, kerana tumpuan kita adalah tentang ekonomi yang berdepan sedikit kesan daripada Koronavirus," katanya kepada pemberita ketika ditemui di program Himpunan Enam Dekad Keluarga Besar Persatu Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Bangi, hari ini.

"Saya rayu dan gesa kawan-kawan, hormati keputusan ini. Untuk pimpinan PKR, saya tidak benarkan serangan atau kecaman terhadap keputusan ini. (Tetapi pihak) yang lain itu di luar keupayaan saya," katanya lagi.

Terdahulu hari ini, FMT melaporkan kumpulan pro-Anwar, Otai Reformis berkata keputusan semalam tidak berpihak kepada Anwar dan mereka akan turun ke jalan bagi mendesak peralihan kuasa dibuat Mei ini.
Dalam sidang media selepas mesyuarat semalam, Mahathir berkata keputusan untuk menyerahkan penetapan tarikh kepadanya dicapai sebulat suara.

"Akhirnya semuanya diserah kepada saya...Tiada tempoh masa (timeframe), terpulang kepada saya sama ada saya nak lepas atau tidak. Itulah kepercayaan yang kita persetujui oleh (Majlis Presiden) parti kepada saya. Alhamdulillah,” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri Anwar, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta pemimpin tertinggi PH - Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau menjangka PKR bertindak sebagai satu suara dalam mesyuarat semalam, tetapi ia tidak berlaku.

"Nampaknya ia tidak terjadi tetapi akhirnya konsensus dipersetujui," katanya.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mencadangkan agar Mahathir kekal sehingga tamat penggal ini.

Berhubung laporan kira-kira 3,000 anggota PKR Tanjung Manis, Sarawak yang didakwa keluar parti kerana tidak mahu Anwar menggantikan Mahathir, beliau berkata jumlah anggota PKR di sana tidak mencecah bilangan itu.

"Bagi saya ia tidak penting kerana anda lihat satu kem kecil yang terdesak dalam PKR cuba melakukan perkara ini. Biarlah pemimpin yang menghasut mereka bersuara, bukan gunakan orang bawahan," katanya lagi.


Tiada ulasan: