Jumaat, 28 Februari 2020

Penyiasat mulakan siasatan helikopter polis terhempas di Tawau

Pekerja menyelamat di lokasi nahas helikopter polis yang terhempas 
di Tawau, malam tadi.
 
KOTA KINABALU: Penyiasat dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan tiba di Tawau hari ini untuk memulakan siasatan berhubung nahas helikopter milik polis yang berlaku di daerah itu malam tadi.

Panglima Pasukan Gerakan Udara Polis Sabah Ahmad Lokman Abdul Hadi berkata pegawai dari bahagian siasatan kemalangan udara, dilantik Kementerian Pengangkutan untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata mereka akan memeriksa bangkai, tapak kemalangan serta merekod keterangan daripada krew dan saksi untuk menentukan punca kemalangan itu.

“Ini akan mengambil masa 1 hingga 2 hari, bergantung kepada berapa ramai yang mereka perlu temubual,” katanya ketika dihubungi.

Seorang jurutera mengalami kecederaan parah manakala 5 yang lain, termasuk juruterbang cedera ringan selepas helikopter AgustaWestland AW139 yang mereka naiki terhempas pada pukul 7.30 malam.

Helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Tawau dan terhempas ketika cuba mendarat di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am.

Lokman berkata juruterbang itu berkata dia hilang kawalan ketika cuba mendarat. Yang lain dalam penerbangan itu ialah pembantu juruterbang dan 3 pemerhati udara.

“Pasukan itu baru saja selesai membuat rondaan rutin di laut. Mereka pergi ke Lahad Datu dan kemudian singgah di lapangan terbang Tawau sebelum penerbangan pulang ke pangkalan GOF,” katanya.

Beliau berkata 2 daripada mereka yang cedera, Wedrich Sindih dan Mohamad Radzie Radaie, dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan selepas mendapat kebenaran dari hospital Tawau.

Ketua Polis Tawau Peter Umbuas, sebelum ini berkata kepada media bahawa pusat pengawasan didirikan dengan segera di lokasi kemalangan, yang kini telah ditutup.

Penduduk berhampiran lokasi kemalangan mendakwa melihat helikopter itu bergoyang dan berpusing beberapa kali sebelum terhempas.

Tiada ulasan: