Isnin, 24 Februari 2020

PEMBELA mohon perkenan Agong pecat AG

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Tommy Thomas tidak dapat jalankan tugas dengan adil serta saksama


BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memecat Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kerana ketidakmampuan beliau menjalankan tugas.

Timbalan Pengerusi PEMBELA, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, permohonan itu akan dilakukan sekiranya Tommy enggan melepaskan jawatannya.

Katanya, ketidakmampuan peguam negara melaksanakan tugas sekarang ini bukanlah kali pertama memandangkan sebelum ini banyak perkara dirungutkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) khususnya NGO Islam dan Melayu yang menunjukkan Tommy tidak dapat menjalankan tugas dengan adil serta saksama.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) turut mempersoalkan asas peguam negara memulakan serta menghentikan prosiding pertuduhan terhadap 12 tertuduh yang dikaitkan dengan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Kita tahu dalam kenyataan peguam negara hanya menyatakan mengenai penarikan balik. Tetapi asas-asas pendakwaan dahulu tidak dinyatakan. Adakah ia dinafikan ketika ini atau perubahan informasi diterima oleh peguam negara, kita tidak dimaklumkan.

“Malah, senarai LTTE di dalam senarai pengganas di Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berubah. LTTE masih berada dalam senarai pengganas,” katanya dalam sidang media di Pejabat Muafakat hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Bahkan katanya, keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Dalam pada itu, Zainul Rijal menegaskan bahawa pihaknya tidak mempertikai kuasa peguam negara yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada kuasa tersebut bersifat mutlak, langsung tidak boleh dipertikaikan atau ada ruang untuk mempersoalkan tindakan Tommy.

“Berdasarkan kes-kes di mahkamah pada suatu ketika dahulu, memang dinyatakan di Mahkamah Agung, Mahkamah Persekutuan bahawa kuasa tersebut bersifat mutlak.

“Tetapi kes-kes terkini yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menyatakan kuasa itu boleh dipersoalkan.

“Jadi di sana terdapat ruang untuk kita mempersoalkan ketelusan, budi bicara peguam negara sama ada beliau membuat sesuatu keputusan dalam keadaan munasabah, adil dan betul dari sudut undang-undang,” kata beliau.


Tiada ulasan: