Ahad, 23 Februari 2020

Orang ramai tangkap pencuri rompak kedai emas

Bernama
85152221_10212782589160105_1507449202098044928_n
Terdahulu, tular beberapa video di laman media sosial memaparkan seorang anggota keselamatan mengacukan pistol terhadap dua individu yang sedang melarikan diri selepas melakukan rompakan di sebuah kedai emas.-Gambar hiasan.
 

SHAH ALAM – Pengunjung sebuah pusat beli-belah di Bukit Tinggi, Klang dekat sini semalam gempar apabila dua individu nekad melakukan rompakan di sebuah kedai emas di pusat beli-belah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata dalam kejadian pada kira-kira 10 malam itu, dua penjenayah berkenaan bertindak meluru masuk ke kedai berkenaan ketika pekerja di kedai itu sedang bersiap-siap untuk menamatkan perniagaan.

“Penjenayah ini yang bersenjatakan tukul kemudian bertindak memecahkan cermin kaca ruang pameran barang kemas sebelum cuba melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shamsul Amar, orang ramai yang melihat kejadian berkenaan telah bertindak mengejar dan berjaya menahan seorang daripada suspek kira-kira 20 meter dari kedai itu.

“Suspek yang berjaya ditangkap adalah seorang lelaki berumur 19 tahun, bersamanya turut dirampas barang kemas yang dirompak dan tukul yang digunakan,” katanya.

Kata Shamsul Amar lagi, polis sedang giat mengesan seorang lagi rakan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Terdahulu, tular beberapa video di laman media sosial memaparkan seorang anggota keselamatan mengacukan pistol terhadap dua individu yang sedang melarikan diri selepas melakukan rompakan di sebuah kedai emas.

Video yang lain pula menunjukkan orang ramai termasuk pekerja pusat beli-belah berkenaan berjaya menangkap seorang daripada suspek dan menyerahkannya kepada pekerja kedai emas itu sementara menunggu kehadiran pihak polis.- BERNAMA

Tiada ulasan: