Sabtu, 29 Februari 2020

Muhyiddin mohon rakyat terima keputusan Agong

MALAYSIAKINI




Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memanjatkan rasa syukur atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantiknya sebagai perdana menteri yang baru.

“Saya menjunjung kasih di atas perkenan YDPA dan sebab itu saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan moral kepada saya.

“Dan kita telah pun berisitiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah diberikan Allah kepada saya.

“Saya hanya memohon untuk seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan diumumkan Istana Negara hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Kira-kira jam 4.30 petang tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenaan melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang baru.

Ia selepas istana menerima senarai calon daripada ketua-ketua parti politik hari ini.

"Setelah mendapat representasi daripada semua ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing, serta ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat ialah Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh," katanya dalam kenyataan itu.

Majlis angkat sumpah akan diadakan di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi esok (1 Mac).
"InsyaAllah saya akan berada di Istana Negara esok," kata Muhyiddin lagi.


Tiada ulasan: